Saudara Pengarang,
WALAUPUN bapa saya, Cheng
Ang Kok telah meninggal dunia 30 tahun lalu dan kematiannya telah didaftarkan
dan sijil mati telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, namun
tiba-tiba saya dapati namanya 'diwujudkan' kembali dalam Daftar Pemilih 2013.
Semakan saya di Daftar
Pemilih SPR yang telah diwartakan (2013) mendapati, mendiang bapa saya 'mengundi'
di Saluran 1, Nombor Siri 88, SK Pekan Dua WP Labuan; lokaliti Jalan Parit, Victoria
Selatan, W.P. Labuan
Menurut rekod Sijil Mati
661/80, bapa saya telah meninggal dunia pada 20 September 1980 ketika berusia
33 tahun.
Persoalan ini menimbulkan
keresahan dan kebimbangan yang amat sangat kerana setelah 30 tahun berlalu,
namanya tiba-tiba muncul kembali dalam usia 74 tahun; seolah-olah beliau 'dihidupkan
semula' setelah kematian rasmi semata-mata untuk 'mengundi' pada PRU-13.
Kami sekeluarga bimbang
dokumen pengenalan diri, terutama kad pengenalan lama mendiang bapa kami, H0579120
dan Mykadnya 390705-12-5441 diaktifkan
semula dan diberikan kepada PATI dan kemudiannya menjadi pemilih berdaftar?
Mungkinkah ada sindiket
menjual rekod orang mati di JPN kerana Sabahkini.net pernah menyiarkan bahawa
ramai PATI India memiliki kad pengenalan orang mati yang telah diaktifkan
semula?
Persoalannya, jika bapa kami
yang meninggal dunia tiga dekad lalu boleh kembali mengundi, apatah lagi mereka
yang belum mendaftar sebagai pengundi atau mereka yang meninggal dunia lima
atau 20 tahun lalu?
Saya berharap agar ada pihak
yang membantu memantau perkara ini bagi memastikan tidak ada PATI yang muncul dan
mengundi bagi pihak mendiang bapa kami yang telah lama bersemadi dengan aman;
tetapi rohnya mungkin terganggu dengan tragedi menyedihkan ini.
Salam Hormat,
EMILY CHIN
No comments:
Post a Comment