ALOR SETAR : Timbalan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan
mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar
pada 3 petang Isnin.
Beliau berkata Tengku
Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, yang juga Pengerusi
Jemaah Pemangku Sultan Kedah, akan menerima watikah daripada Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz berkata ia bagi
memaklumkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar dan kerajaan baharu di
negeri ini akan bermula untuk melaksanakan segala Aku Janji BN Kedah yang
diumum sebelum pilihan raya.
"Itu saja saya ingat
akan memenuhi masa kami dalam tempoh lima tahun ini kerana disenaraikan begitu
banyak sekali aktiviti dan program yang dirancang semata-mata untuk rakyat.
"Tujuannya tak lain tak
bukan untuk meningkatkan pendapatan bagi negeri ini, dan sudah tentu untuk
memberi nikmat kepada rakyat, jadi di situ permulaannya dari pagi ini,"
katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Tunku.
BN membentuk kerajaan negeri
di Kedah dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN).
"Sambil kita berpuas
hati dengan keputusan ini, kita mempunyai satu tanggungjawab yang berat untuk
memenuhi kehendak rakyat, dan ini satu tanggungjawab yang memang kami bersedia
untuk menggalas dan memikulnya," kata Mukhriz.
Beliau turut ditanya
berhubung tindakan beraninya bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam mencabar
penyandang Abd Ghani Ahmad daripada PAS.
"Bagi saya, ini satu
contoh supaya rakan yang lain turut berusaha untuk menang di kerusi yang telah
kita kalah dahulu...Nak kata yakin, 50-50 juga... Apa ertinya kalau saya datang
ke mari bertanding di kerusi yang selamat, oleh itu, saya ambil risiko yang
agak terkawal, kerana walaupun dahulunya kita kalah di DUN Ayer Hitam, tetapi
jumlah undi yang saya dapat pada 2008 agak banyak," katanya.
Mukhriz berkata disebabkan
itu, beliau yakin mempunyai peluang untuk menang kerana telah memberi
perkhidmatan sebaik mungkin kepada seluruh warga Parlimen Jerlun dalam tempoh
lima tahun lepas.
"Saya ingat pengundi di
Ayer Hitam juga menghargai apa yang telah saya lakukan, akhirnya sokongan
mereka telah diterjemahkan dalam bentuk undi yang telah kita ketahui keputusannya
hari ini," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment