KUALA LUMPUR : Umno kekal
tonggak Barisan Nasional (BN) apabila menjadi penyumbang terbesar kerusi
Parlimen kepada parti gabungan itu pada pilihan raya umum ke-13.
Umno menyumbang 109 daripada
133 kerusi yang dimenangi BN. Umno bertanding 120 kerusi kali ini.
Angka 109 kerusi itu
menunjukkan peningkatan pencapaian sebanyak 23 peratus berbanding PRU 2008
apabila BN memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi yang dipertanding.
Bagi Dewan Undangan Negeri
(DUN), Umno berjaya menguasai 244 kerusi daripada 339 kerusi yang dipertanding
berbanding 239 daripada 338 kerusi pada 2008.
Presiden Umno Datuk Seri
Najib Tun Razak memperoleh majoriti lebih besar iaitu 35,613 apabila
mempertahan kerusi Pekan daripada dirampas lawannya, Mohd Fariz Musa dari PKR.
Pada PRU 2008, Najib
menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti undi
sebanyak 26,464.
Timbalan Presiden Umno Tan
Sri Muhyiddin Yassin turut mempertahan kerusi Pagoh selepas mengalahkan
lawannya, Mohd Rozali Jamil dari PAS dengan majoriti 12,842 undi.
Pada 2008, Muhyiddin
menewaskan Mohd Rozali dengan majoriti 12,581 undi.
Di kerusi panas, Umno hanya
menang di Parlimen Arau apabila Datuk Seri Shahidan Kassim menumpaskan Datuk Dr
Haron Din dari PAS dengan majoriti 1,371 undi.
Setiausaha Agung Umno Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya
buat kali ketiga berturut-turut apabila menewaskan calon PAS Datuk Husam Musa
dengan majoriti 5,541 undi.
Kerusi DUN Sungai Udang di
Melaka menyaksikan Datuk Idris Haron menang mudah ke atas calon PKR Asri Buang
dengan majoriti 9,136 undi.
Di Kedah, Umno menguasai 19
daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi sehingga membolehkan BN mengambil alih
pemerintahan negeri itu daripada PAS.
Pada PRU 2008, Umno hanya
menang 12 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi di negeri itu.
Umno juga menang 10 daripada
13 kerusi Parlimen yang ditandingi di Kedah.
Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur pula menyaksikan penambahan satu kerusi Umno, yang berjaya menawan
kembali Titiwangsa dan mengekalkan kuasanya di Setiawangsa.
Ternyata Johor, Melaka,
Negeri Sembilan dan Sabah masih menjadi kubu kuat Umno apabila hampir menguasai
kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertanding.
Meskipun Kelantan, Pulau
Pinang dan Selangor gagal dikembalikan kepada BN, prestasi Umno di negeri
berkenaan agak memberangsangkan kecuali Selangor yang menyaksikan parti itu
hanya menang empat kerusi Parlimen, sama seperti pada 2008, dan menang 12
kerusi DUN berbanding 20 pada PRU12.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment