KOTA KINABALU : Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta semua pihak termasuk Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima mandat rakyat pada Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU), pada 5 Mei lalu dan bergerak ke hadapan demi kebaikan
negara.
Ketika membuat gesaan itu,
Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, meminta pembangkang
supaya menghentikan rekaan dakwaan penipuan oleh BN semata-mata untuk menghasut
rakyat.
"BN telah kehilangan
beberapa kerusi di Sabah dan anda tidak dengar kami membangkitkan isu salah
laku...sebaliknya kita akan mengkaji kelemahan kami," katanya dalam
kenyataan di sini Isnin.
"Hari in Anwar membuat
perhimpunan di stadium dan esok apabila masih tidak puas hati, dia akan
melakukan di jalanan bagi menghasut rakyat supaya menimbulkan kekacauan. Adakah
ini jenis Malaysia yang kita inginkan?, katanya.
Musa mengulas bantahan Anwar
terhadap keputusan PRU13 yang didakwa dicemari dengan unsur penipuan.
Beliau berkata pemimpin
dunia telah menerima mandat rakyat dan turut mengucapkan tahniah kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaan BN.
"Oleh itu, sila menjadi
seorang budiman dan menerima mandat rakyat dan membenarkan semua rakyat
Malaysia meneruskan kehidupan masing-masing. Jangan benarkan perjuangan seorang
ini untuk mengaburi pilihan anda," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment