PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan
hari ini memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh
dikuatkuasakan secara sah.
Berikutan keputusan penting
itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di
Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung
dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.
Panel tiga hakim diketuai
Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd
Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan Mahkamah
Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.
Hishamudin bersetuju dengan
hujahan yang dikemukakan oleh peguam A. Vishnu Kumar, yang mewakili kerajaan
Selangor dan Khalid, bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di
sisi undang-undang.
Vishnu telah mengemukakan
bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji
pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.
Beliau berkata remedi mereka
merupakan bersifat politik dengan memetik kes mahkamah di England termasuk
keputusan hakim terkenal, Lord Denning, yang memutuskan remedi pengundi untuk
tidak memenuhi janji pilihan raya terletak di peti undi.
Hishamudin juga menerima
hujah Vishnu bahawa pihak responden yang diketuai pengerusi Persatuan Ibu
Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman, tidak boleh mencabar perkara itu
berikutan saman sivil itu telah difailkan di luar tempoh masa.
Peguam itu memberitahu
mahkamah bahawa pihak responden sepatutnya memfailkan saman tersebut dalam
tempoh tiga tahun mulai Mac 2008 tetapi hanya melakukannya pada 23 Nov tahun
lepas.
Mahkamah kemudian
memerintahkan responden membayar kos guaman sebanyak RM1,000 kepada kerajaan
Selangor dan Khalid.
Peguam Walter Pereira, yang
mewakili pihak responden, berkata janji-janji dalam manifesto itu diterjemahkan
sebagai satu bentuk kontrak.
Kumpulan ibu tunggal itu
memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dengan menuntut elaun
berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh pakatan pembangkang
dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
Pada 12 Dis 2011, kerajaan
Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan
pada 23 Jan lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes
itu dibicarakan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment