LAWAT....Pang
bersama-sama rombongannya melawat Masjid Kg Bokara.
Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto: SAFFIE S JUMADI
KARAMUNTING : Sebagai Wakil Rakyat yang dipilih dan diberi mandat
sepenuhnya pada PRU 13 lalu, sememangnya sudah menjadi tanggungjawabnya
memastikan setiap program pembangunan yang telah dirancangkan sebelum ini,
diteruskan demi kepentingan rakyat.
Bercakap kepada Sabahkini.Net sejurus selepas berjumpa masyarakat di
sekitar Tanah Merah dan Kampung Bokara
di sini, kelmarin, ADUN Karamunting, Charles O Pang berkata, misi beliau
sekarang adalah memberi keselesaan kepada semua kerana mandat yang diberi tidak
boleh dipersia.
Namun begitu, ujarnya,
masyarakat perlu pro-aktif memberi maklum balas berhubung tahap pembangunan di
kawasan masing-masing supaya setiap segala keperluan dapat ditangani segera.
"Sebagai wakil rakyat
yang baru dipilih, sudah pasti pengalaman saya tidak sama seperti pemimpin yang
sudah lama berkhidmat. Tetapi paling penting ialah jalinan kerjasama di antara
pemimpin dan masyarakat," kata Charles yang akan memastikan pembangunan di
Karamunting selaraskan segera.
Sehubungan itu, kata Charles,
perancangan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Peter Pang En Yin untuk menaiktaraf
Pasar Ikan dan Sayur di Tanah Merah ke kawasan lebih sesuai akan
direalisasikannya.
"Saya akan meneruskan
perancangan Datuk Peter Pang agar usaha menaiktaraf pasar tersebut yang
dicadangkan dipindahkan ke kawasan tepi laut akan menjadi kenyataan," ujar
Charles.
WAWANCARA.....Pang
memberitahu misinya untuk membangunkan kawasan DUN Karamunting dengan lebih
pesat lagi
Tanggungjawab beliau sekarang,
kata Charles ialah memikul tugas yang diamanahkan terutama memastikan sokongan
rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.
Sambil berterima kasih
kepada para pengundi Karamunting yang memberikannya mandat untuk menjadi wakil
rakyat baru, Charles berkata, usahanya kini tertumpu kepada tugas memulihara
kawasan pesisir pantai dengan menaiktaraf Pantai Pasir Putih atau lebih
dikenali sebagai 'Sandy Plain'.
Katanya, pantai itu
berpotensi menjadi salah sebuah tempat pelancongan menarik asalkan wujud usaha
tersebut.
"Pantai ini mewujudkan
persekitaran yang sihat dan sering dikunjungi ramai setiap minggu. Saya yakin
usaha memulihara serta menaiktaraf pantai ini sebagai kawasan rekreasi keluarga
yang popular akan menjadi kenyataan," kata Charles.
Sebagai perancangan masa
hadapan, Charles bercadang membina sebuah dewan masyarakat di Karamunting
selain menaiktaraf pondok polis sedia ada, termasuk menaiktaraf sistem
perparitan serta pemasangan lampu jalan.
Menurutnya, perancangan ini
adalah 'Akujanji' yang dilafazkan ketika kempen PRU-13 untuk memberi manfaat
kepada rakyat.
Mengenai perlantikan
Pengerusi JKKK atau JKDB, tambah Charles, sebaik-baiknya biarlah
penduduk-penduduk sendiri yang membuat pilihan melalui proses pemilihan di meja bulat.
Katanya, melalui sistem pemilihan
kendiri, penduduk dapat membangunkan kampung mereka secara muafakat dan
mengurangkan karenah birokrasi seperti sebelum ini.
No comments:
Post a Comment