Tuesday, 7 May 2013

'SILENT WALK' UNTUK KEMATIAN DEMOKRASI?






LERAI....POLIS bertindak meleraikan perarakan terbabit di perkarangan bangunan pasaraya Emporium, berhampiran Wisma Merdeka di Jalan Pantai kelmarin.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Satu kumpulan dianggotai 50 orang yang mahu dikenali sebagai ‘The Silent Walk’ telah melakukan perarakan sejauh 5 kilometer dari bangunan pusat beli belah Suria Sabah sebagai simbolik protes kepada sistem kelangsungan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Kumpulan terbabit dipercayai melakukan perarakan menuju ke bangunan Umno Negeri Sabah yang terletak di Karamunsing di sini kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Perarakan itu sedikit terganggu apabila berlaku kekecohan di bawah perkarangan pejabat Umno Kota Kinabalu, berhampiran Kinabalu Emporium di sini namun berjaya dileraikan anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu keadaan adalah terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau turut menasihatkan kumpulan terbabit untuk tidak berbuat demikian di masa hadapan tanpa sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa berikutan ianya adalah salah di sisi undang-undang.

“Tiada tangkapan dilakukan kerana mereka (kumpulan kecil) ini hanya bertindak melakukan perarakan.

“Namun begitu, saya ingin menasihatkan mereka sekali lagi agar terus mematuhi undang-undang dan tidak sesuka hati membuat perarakan tanpa meminta kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment