Oleh : TARIRAH HAMZAH
ENTAH di mana silapnya,
sebuah negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam dan mempunyai Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam tetapi penduduknya yang berwali hakim sukar bernikah
kerana hanya seorang jurunikah yang dilantik untuk Pantai Timur Sabah.
Walaupun permohonan untuk
mendapatkan Wali Hakim difailkan di Mahkamah Syariah, namun urusan nikah kahwin
mengambil masa yang lama kerana hanya seorang jurunikah bertauliah yang dilantik
mengendalikannya.
Lebih merumitkan, Jurunikah
Tunggal bagi pantai Timur menetap di Semporna sehingga penduduk Islam yang
tinggal di Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran, Tawau dan sebagainya terpaksa
menempuh perjalanan yang jauh dan terkadang kala terpaksa bermalam beberapa
hari sebelum dapat bernikah.
Syarat ketat untuk kelayakan
Jurunikah Wali Hakim, iaitu seorang Al-Hafiz menyebabkan tidak ramai yang dapat
dilantik ke jawatan berkenaan.
Satu-satunya Jurunikah
bertauliah bagi Pantai Timur Sabah ialah Losman Linjal Al-Hafiz. Belum ada
sebaranga perlantikan lain dibuat sekalipun aduan rasmi dibuat kepada menteri
dan Pengerusi MUIS.
Penduduk Islam di pantai
timur menggesa MUIS dan JHEAINS agar melonggarkan syarat mandatori kelayakan
Jurunikah Wali Hakim daripada Al-Hafiz kepada syarat kelayakan jurunikah biasa.
"Untuk apa kami memilih
kerajaan BN jika hal Walimatul Urus diberi pelbagai sekatan? Siapa mahu
tanggung dosa pasangan yang terlanjur kerana terlalu lama menunggu majlis nikah
kahwin?" tanya seorang Ketua Kampung di Gugusan Tg Labian setelah majlis
anak saudaranya tergendala beberapa kali disebabkan Jurunikah di Semporna
terlalu sibuk.
No comments:
Post a Comment