KUALA LUMPUR : Tidak semua
parti Barisan Nasional (BN) gembira dengan pembahagian jawatan Kabinet seperti
PRS dari Sarawak yang telah menolak pelantikan sementara SPDP tidak berpuas
hati dengan kemenangan empat kerusi Parlimen mereka tidak diberikan apa-apa
ganjaran.
Beberapa ahli Parlimen kanan
Umno Sabah juga merungut mereka tidak diberikan peluang untuk pelantikan
Kabinet sementara terdapat juga penggubal undang-undang Umno yang menyelar
pemilihan P Waythamoorthy walaupun pernah cuba menggulingkan kerajaan satu
ketika dahulu.
Media melaporkan Datuk
Joseph Entulu Belaun tidak menerima pelantikannya sebagai Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri dan Datuk Joseph Salang Gandum secara terbuka menolak dilantik
sebagai timbalan menteri sekali lagi.
Setiausaha Agung BN Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Utusan Malaysia hari ini gabungan
itu telah menerima keengganan Salang untuk menerima jawatan timbalan menteri
itu.
Presiden PRS James Masing
mengatakan majoriti ahli majlis tertinggi parti itu bersetuju untuk menolak
tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan mereka merasa
“dipinggirkan” dan “seharusnya dilayan dengan lebih baik”.
PRS mendapat enam kerusi
Parlimen dan SPDP empat membantu BN mendapat 133 kerusi Parlimen, lebih baik
daripada parti BN di Sabah, Sarawak dan semenanjung yang diberikan ganjaran
lebih baik.
MIC yang menang empat kerusi
mendapat dua jawatan menteri dan dua timbalan menteri sementara SUPP dan PBRS
mendapat jawatan menteri penuh walaupun hanya menang satu kerusi Parlimen.
“PRS dan SPDP yang mempunyai
kekuatan di pedalaman tidak dilayan dengan betul oleh kerajaan hari ini.
“Kawasan pedalaman di
Sarawak adalah ‘deposit tetap’ Barisan Nasional. Jika anda tidak mengambil
berat, orang lain akan datang dan menariknya keluar,” kata Masing memberikan
amaran dalam laporan Free Malaysia Today. Masing yang mempengerusikan mesyuarat
tergempar ahli majlis tertinggi mengatakan, majoriti ahli PRS merasakan jawatan
menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak sesuai dengan PRS yang berasaskan
kawasan pedalaman.
Portal berita itu juga
memetik timbalan setiausaha agung SPDP Paul Igai sebagai berkata,” Saya tidak
boleh menyalahkan ahli parti jika mereka marah, kerana sukar untuk menerima
keputusan perdana menteri.
“Mereka juga telah bertanya
sama ada ia adalah satu percubaan yang sengaja untuk tidak melibatkan kita atau
sama ada perdana menteri telah terlepas pandang,” katanya.
Terdapat rekod 13 menteri
dari Malaysia Timur dalam kabinet Najib yang diumumkan Rabu lepas.
The Malaysian Insider
difahamkan ahli Parlimen kanan Umno tidak gembira mereka dipintas oleh ahli
Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menjadi menteri dalam
penggal keduanya sebagai ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Umno lain
marah dengan tindakan Najib melantik Waytamoorthy sebagai timbalan menteri
menegaskan, lelaki yang menjadikan dirinya sebagai pelarian itu selepas
perhimpunan Hindraf 2007 berkempen di peringkat antarabangsa menyelar Malaysia
kerana dikatakan memberikan layanan buruk kepada kaum India.
Mereka mengatakan
pentadbiran Najib seharusnya memberikan ganjaran kepada yang bekerja keras
untuk memenangkan gabungan itu daripada golongan tidak pernah menyumbang dan
menentang mereka satu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment