KOTA KINABALU: Angkatan
Perubahan Sabah (APS) pada selasa mendakwa bahawa jumlah wang yang banyak diagehkan
kepada penduduk di kawasan DUN Sulaman pada hari menjelang pengundian,
mengakibatkan Presidennya, calon PKR untuk kerusi parlimen Tuaran, Datuk
Wilfred Bumburing, dikalahkan oleh BN.
"Kami menerima laporan
tentang jumlah wang yang banyak diagehkan kepada pengundi di kawasan Sulaman di
bawah kawasan Parlimen Tuaran pada hari sebelum hari mengundi.
"Oleh sebab itu, saya
kalah kerusi parlimen Tuaran walaupun saya menang (dari segi jumlah undi) di Kiulu
dan Tamparuli," katanya.
Beliau berkata, hakikatnya
adalah keputusan pilihan raya umum yang baru tamat itu bertentangan dengan
suasana pilihan raya kebanyakan rakyat yang menyuarakan sentimen mereka untuk
perubahan.
Beliau berkata malangnya
sentimen perubahan itu di atasi oleh jumlah wang yang banyak dan diagehkan pada
hari sebelum pilihan raya.
Beliau meraih 15,495 undi
berbanding 20,685 undi yang dicapai oleh Datuk Madius Tangau (BN-Upko) di
kerusi parlimen Tuaran.
Bagaimanapun, Bumburing
memenangi kerusi negeri Tamparuli selepas memperoleh 6,862 undi berbanding
6,476 undi Datuk Jahid Jahim (BN-PBS).
Beliau juga mendakwa
manipulasi sebilangan besar pendatang tanpa izin yang diberikan MyKad di bawah
Projek IC adalah antara halangan utama bagi calon pembangkang, termasuk
dirinya.
Bagaimanapun, bekas Ahli
Parlimen Tuaran itu, bersumpah untuk meneruskan agenda perubahan itu di samping
berjuang untuk keadilan dan kesaksamaan bagi setiap rakyat Malaysia.
"Saya juga akan terus
bekerja rapat dengan komponen lain Pakatan Rakyat untuk memastikan kepentingan
rakyat diperjuangkan dengan apa cara sekalipun," katanya.
Sehubungan itu, beliau
menyuruh kerajaan Barisan Nasional menjalankan dan melaksanakan kewajiban moral
mereka untuk memenuhi janjinya kepada rakyat seperti dikemukakan dalam
manifesto BN.
Beliau berkata semua wakil
rakyat Pakatan untuk kedua-dua dewan parlimen dan dewan undangan negeri, akan
bekerjasama untuk mengaudit dari masa ke masa, pencapaian semua wakil rakyat
BN.
"Kami juga mahu melihat
penerusan tugas yang diberikan kepada RCI terhadap pendatang tanpa izin dengan
MyKad termasuk mereka yang mendaftar sebagai pengundi," katanya.
No comments:
Post a Comment