TAWAU : Seorang wanita warga
tempatan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup setelah didakwa
melindungi pengganas. Norhaida Ibnahi, 46, didakwa atas pertuduhan itu di
Mahkamah Tinggi yang bersidang khas secara tertutup di Penjara Tawau, kelmarin.
Norhaida, tertuduh wanita
pertama dalam kes ini, didakwa melindungi sekumpulan pengganas di sebuah rumah
tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna dari 9 Feb hingga 22 Mac
lalu.
Dalam prosiding itu juga,
seorang lagi warga tempatan, Abdul Majil Jubin, 41, didakwa atas dua pertuduhan
iaitu melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai
kumpulan pengganas. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan
Lihak-Lihak, Semporna dari 9 Feb hingga 13 Mac.
Seramai lapan warga Filipina
turut didakwa hari ini atas dua pertuduhan melibatkan keganasan.
Bagaimanapun tiada sebarang
pengakuan dibuat oleh kesemua tertuduh. Datu Amirbahar Hushin Kiram, anak
saudara kepada ketua pengganas Jamalul Kiram, didakwa bersama tujuh warga
Filipina lain setelah kes terhadap mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Datu Amirbahar, Rijmal
Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil
Samiul dan Rizman Gulan didakwa melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan
Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.
Mereka didakwa melakukan
kesalahan itu antara 9 Feb dan 10 April lalu di beberapa lokasi berasingan
iaitu Kampung Tanduo, Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan di Jalan
Lihak-Lihak, Semporna.
Bagi pertuduhan melancarkan
perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala
pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama,
membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.
Bagi kesalahan melindungi
pengganas, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun atau
denda.
Selepas selesai prosiding,
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu pemberita kes terhadap 14
warga Filipina dan seorang warga tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, turut didengar
hari ini di hadapan Hakim P. Ravinthran.
Bagaimanapun, katanya, tiada
sebarang pengakuan direkodkan dan Hakim Ravinthran menetapkan 7 Jun untuk
sebutan semula.
Abdul Gani berkata pada
tarikh sama juga, kes pengakuan kesemua tertuduh akan diambil (sekiranya
diwakili peguam) dan hakim akan memutuskan sama ada kes tersebut perlu dibicara
bersama atau sebaliknya.
Peguam pemerhati bagi warga
Filipina, Datuk John Sikayun memberitahu pemberita bahawa ketika prosiding,
pihak pendakwaan telah mengemukakan permohonan supaya kes itu dipindahkan ke
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan pada 7 Jun ini juga peguam bagi pihak tertuduh
akan hadir ke mahkamah, sama ada peguam yang dilantik oleh tertuduh sendiri
atau oleh pihak kedutaan Filipina.
Mereka yang dituduh sebelum
ini bagi kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar,
Basad Manuel, Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib
Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali,
Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.
Kesemua mereka turut didakwa
menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland
Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir. Selain itu, Kadir Uyung dan Lating Tiong
didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas dan Salib Akhmad (juga didakwa
memerangi Yang di-Pertuan Agong) turut didakwa merekrut orang sebagai anggota
kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.
Sehingga kini, 29 tertuduh
menghadapi pertuduhan mengikut pelbagai kesalahan keganasan dan 26 daripadanya
adalah warga Filipina, selebihnya termasuk seorang wanita adalah warga
tempatan.
Kesemua mereka sebelum ini
telah didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis
Daerah di Lahad Datu, Semporna dan Beluran.
Sementara itu, Timbalan
Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu Bernama bahawa prosiding yang
sepatutnya berlangsung di Mahkamah Tinggi Tawau itu terpaksa ditukar ke Penjara
Tawau atas faktor keselamatan. Sekitar kawasan penjara dikawal ketat oleh unit
kawalan udara serta anggota keselamatan bersenjata. (Bernama)
No comments:
Post a Comment