Wednesday, 15 May 2013

LOGISTIK PGA AKAN DIPERTINGKAT






BINCANG...Charles sedang membincangkan sesuatu dengan Supt  Landi semasa kunjungan kehormat ADUN ke pejabat PGA Karamunting.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

KARAMUNTING : Dalam kunjungan sulung ADUN Kawasan Karamunting, Charles O Pang,  ke Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) di Karamunting kelmarin, beliau telah membincangkan banyak isu penting dengan Pegawai Pemerintah Batalion 15, Sandakan.

Kunjungan Pang dan rombongannya itu telah disambut oleh Supt Landi Ilod, Pegawai Pemerintah BN 15 PGA Sandakan dan mengisi topik sulung perbincangan mereka berhubung cadangan pembinaan  perumahan anggota PGA dan pejabat  di kawasan seluas 100 hektar .

Pang yang menerima cadangan itu akan mencuba sedaya upaya membawa perkara ini ke peringkat persekutuan melalui Ahli Parlimen Batu Sapi untuk dibahaskan pada sidang parlimen bagi penggal pertama akan datang.

Selain itu, Pang juga berjanji akan sentiasa turun padang bagi memastikan sistem perparitan di seluruh Karamunting teratur kerana terdedah kepada masalah banjir kilat ketika hujan lebat.





KENANGAN...Charles dan rombongan bergambar bersama Supt Landi.

Kata Pang, Pantai Pasir Putih juga akan dinaik taraf, terutama sekali dari segi landskapnya dan pengurusan sampah sarap agar sifar sampah dan menarik kunjungan pelancong.

"Kita percaya apabila pantai Pasir Putih dinaik taraf kelak; dengan sokongan tiga buah chalet yang mempunyai masing-masing; maka sudah pastinya pantai tersebut akan menarik minat para pelancong tempatan dan asing,” ujarnya.

Kata Pang, beliau akan membawa isu ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah bagi penggal pertama yang bakal diadakan pada 10 April kelak.

No comments:

Post a Comment