Thursday, 1 August 2013

ENAM PREMIS BERTIKUS DIARAH TUTUP






Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Tawau mengarahkan enam premis makanan di daerah ini supaya ditutup selama 14 hari akibat bertikus dan berlipas.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau, Rahman Sampe, berkata arahan itu diberikan terhadap premis-premis di sekitar Hill Top, Sin Onn dan Megah jaya hasil daripada operasi yang dijalankan antara jam 10 pagi hingga 3 petang Isnin lepas.

“Operasi ketiga yang dijalankan secara besar-besaran ini dijalankan dengan kekuatan 20 anggota penguatkuasa,” katanya di sini kelmarin sambil menyatakan sebanyak 24 premis yang diperiksa di dalam operasi terbabit.

Rahman berkata, premis terbabit diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 kerana ada bukti kesan tikus dan lipas, premis kotor dan melanggar Peraturan Makanan 2009 seperti tidak mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan sijil asas pengendalian makanan untuk pekerja.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan semua premis makanan di daerah ini supaya mengambil langkah yang drastik menerusi pelaksanaan aktiviti kawalan tikus dan serangga di premis mereka.

“Langkah ini perlu dilakukan untuk mengelak sebarang kejadian penyakit yang dibawa oleh tikus ataupun serangga berkaitan, malah kita juga perlu menjaga kebersihan premis makanan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggiatkan lagi operasi itu secara berkala setiap bulan untuk memastikan semua premis makanan berada di tahap kebersihan yang memuaskan dan tidak menjadi sarang tikus.

Menyentuh kesan daripada kewujudan sarang tikus di sesebuah premis pula, Rahman berkata semua premis makanan di daerah ini perlu memastikan supaya premis mereka tidak menjadi sarang tikus dan tidak menimbulkan ancaman kesihatan kepada keluarganya. (THEBORNEOPOST)

No comments:

Post a Comment