Thursday 1 August 2013

RM500 SEBELUM AIDILFITRI







Kerajaan negeri mengumumkan bayaran bantuan khas berjumlah RM500 kepada penjawat awam negeri sebelum hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, berkata manfaat itu bakal dinikmati oleh penjawat awam bagi gred 1 hingga gred 54 termasuk kakitangan sambilan di bawah lantikan vot terbuka.

“Diharap bantuan khas ini akan meringankan beban kewangan penjawat awam sempena merayakan Aidilfitri.

“Pembayaran ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM9,579,500,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di pejabat kementeriannya, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Musa turut mengumumkan bahawa semua Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri di bawah sistem Saraan Malaysia (SSM) akan menerima dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini yang berkuatkuasa mulai 1 Julai lepas.

Katanya, kenaikan itu melibatkan KGT biasa dan pemberian pemindahan gaji dengan amaun satu KGT seperti yang dilaksanakan pada penjawat awam persekutuan.

“Dengan pemberian kenaikan gaji tahunan, manfaat dan faedah akan diperolehi sepanjang tempoh perkhidmatan penjawat awam di negeri ini.

“Disamping itu, penjawat awam juga turut menikmati faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya pembayaran KGT termasuk kenaikan wilayah melibatkan peruntukan kewangan RM2,006,534.81 sebulan bagi 16,255 penjawat awam di pelbagai jawatan kementerian dan jabatan bagi tempoh sebulan atau  RM24,078,417.72 setahun.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman. (THEBORNEOPOST)

No comments:

Post a Comment