BERLIN : Seorang lelaki
mengaku memenggal isterinya sebelum mencampakkan kepala mangsa dari bumbung
apartmen mereka ketika keenam-enam anaknya berada di rumah.
Orhan Sircasi ditahan kerana
membunuh isterinya, dan memotong mayat mangsa dengan pisau.
Lelaki berusia 32 tahun itu
cuba mengelak daripada ditangkap dengan menyerang anggota polis dengan pisau
berkenaan.
Dia akhirnya berjaya
ditangkap di balkoni kompleks apartmennya tetapi hanya selepas dia mencampakkan
kepala isterinya dari bumbung apartmen itu.
Polis diberitahu mengenai
kejadian berkenaan sejurus selepas jam 1 pagi setelah saksi membuat laporan
mengenai pertengkaran sepasang suami isteri dari balkoni masing-masing dan
melihat bagaimana Orhan menikam dada mangsa sebelum memenggalnya.
Ekoran penangkapannya, Orhan
dikatakan memberitahu pegawai, dia tidak kesal dengan perbuatannya.
Dia dijadual dihadapkan ke
mahkamah hari ini.
Polis mengesahkan, enam anak
pasangan itu, empat lelaki dan dua perempuan yang berusia antara satu hingga 13
tahun, berada di rumah tetapi tidak menyaksikan pembunuhan itu.
Bagaimanapun seorang jiran
berkata sebaliknya.
“Mereka dalam ketakutan. Si
bapa membiarkan mereka melihat ketika dia memotong mayat ibu mereka,” kata
jiran itu.
Kanak-kanak itu kini diberi
rawatan psikologi dan akan diletakkan di bawah penjagaan pihak berkuasa.
Jiran membuat laporan kepada
polis pada awal pagi selepas terdengar jeritan dari kediaman pasangan itu.
Bagaimanapun, punca
pergaduhan tidak diketahui.
Seorang jiran memberitahu akhbar
Bild: “Saya terdengar jeritan dari rumah atas dan kakak saya berkata, ada
sesuatu yang terjadi. Kami mendekati tingkap dan mendengar bagaimana lelaki itu
menjerit dan memukul isterinya.
“Akhirnya, saya melihat dia
memegang kepala wanita itu. Saya mendengar dia campakkan kepala itu ke bawah.”
Seorang jiran lain berkata:
“Saya melihat kepala itu dan saya fikir tidak ada apa-apa. Ia mungkin patung
atau sesuatu yang lain.
“Tetapi apabila polis
menyuluhnya saya berkata: ‘Oh Tuhan. Itu jiran kami.”
Menurut laporan media, Orhan
sering bertindak ganas terhadap isterinya, memukul dan menendangnya jika dia
berang, lebih-lebih lagi selepas minum arak.
Orhan dipercayai mempunyai
rekod polis kerana beberapa kesalahan, termasuk kerana cuai, kesalahan trafik
dan dadah. (DM)
No comments:
Post a Comment