Wednesday 29 August 2012

PBB WAJIB BAWA PEMBAHARUAN MENYELURUH





KUALA LUMPUR : Malaysia akan terus mendesak bagi pembaharuan menyeluruh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk menggiatkan semula Perhimpunan Agung sebagai Ketua Perundingan, pembuat dasar dan badan perwakilan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ia adalah sama pentingnya bagi membawa pembaharuan kepada Majlis Keselamatan untuk menggambarkan realiti geopolitik abad ke-21 yang secara idealnya lebih diwakili secara demokratik, cekap dan berkesan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Kita semua setuju bahawa Majlis perlu kepada pembaharuan dan kita belum bersetuju mengenai caranya. Kemajuan tidak akan dicapai dengan perbezaan pendapat ini.

"Kita mesti bertolak ansur dalam pandangan yang berbeza dan menyuarakan kedudukan dalam bidang tumpuan yang menggambarkan pandangan menyeluruh dan kedudukan-kedudukan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)," katanya pada perbahasan mesyuarat persediaan interaktif peringkat menteri bagi Sidang Kemuncak NAM ke-16 di Tehran, Iran, Selasa.

Perbahasan interaktif itu bertemakan 'Keamanan Berpanjangan Melalui Tadbir Urus Bersama'. Teks kenyataannya dihantar kepada Bernama melalui Kementerian Luar.

Dalam hubungan ini, Anifah menjelaskan hanya dengan cara ini, kumpulan itu boleh mengambil kesempatan daripada kekuatan mereka dalam bilangan dan menunjukkan kedudukan yang seragam dan berharap untuk menggerakkan proses pembaharuan ke hadapan.

Sambil menyebut isu rakyat Palestin dan Syria, Anifah berkata isu rakyat Palestin masih tidak dapat diselesaikan disebabkan ketidakupayaan Anggota-anggota Tetap Majlis Keselamatan mencari penyelesaian yang adil kepada keganasan yang kejam dan berterusan di Syria.

Sehubungan itu, Anifah menegaskan bahawa pada peringkat antarabangsa, seruan kepada tadbir urus yang baik bagi setiap negara yang berdaulat perlu diberi layanan sama adil mengikut undang-undang dan layak kepada perlindungan yang saksama dalam undang-undang.

Sambil mengenal pasti kesaksamaan dan kebebasan sebagai dua ciri penting dalam tadbir urus yang baik, Anifah menegaskan bahawa tiada mana-mana negara perlu didiskriminasi disebabkan saiznya, latar belakang sejarah dan kebudayaannya, sistem kerajaannya, kepercayaan dan idealnya.

"Hak-hak dan kepentingan setiap negara perlu dikekalkan dan kebimbangan mereka ditangani untuk kestabilan dan keamanan antarabangsa yang berpanjangan. Tetapi adakah ini keadaannya? Sedihnya, ini bukan selalu keadaannya.

"Ia adalah bertentangan dengan keadaan ini dan Malaysia percaya dalam dasar inklusif dalam proses membuat keputusan di peringkat antarabangsa. Ia adalah bertentangan dengan keadaan ini bahawa tadbir urus global perlu dirangka dan NAM mesti menunjukkan perpaduan dalam menyeru perubahan ke arah itu," katanya.

Anifah menggesa NAM untuk menyokong dan menjadi teraju dalam pembinaan orde antarabangsa berdasarkan kepada kemasukan, keadilan, kesaksamaan, maruah manusia, saling faham memahami dan hormat menghormati atas kepelbagaian budaya dengan menjadi lebih tegas atas prinsip-prinsip ini.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat dunia perlu bersetuju dengan cara bagi menangani mana-mana tadbir urus global dalam isu hak asasi manusia, yang mana ia perlu berbeza dari sebuah negara dengan negara yang lain disebabkan perbezaan kedaulatan yang unik dalam budaya dan agama dan oleh itu perlu bersikap sensitif.

Anifah juga melahirkan penghargaan ikhlas kepada Mesir yang akan tamat tempohnya sebagai pengerusi atas kepimpinan yang menjadi teladan sejak tiga tahun sebelum ini dan menaruh harapan untuk bekerja dengan Republik Islam Iran sebagai pengerusi baru NAM. (Bernama)

No comments:

Post a Comment