Wednesday 29 August 2012

FGV ISYTIHAR DIVIDEN INTERIM 5.5 SEN SEUNIT





KUALA LUMPUR : Selepas dua bulan disenaraikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), mengisytiharkan dividen interim sebanyak 5.5 sen seunit dengan semua peneroka akan menerima RM400 seorang.

Berita baik itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berkata dividen itu berasaskan pegangan 800 unit saham yang dimiliki setiap peneroka serta keuntungan daripada dana amanah peneroka.

"Dengan ini peneroka tak perlu pinjam bank atau keluar duit sendiri," kata beliau kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Felda di Bangunan Felda Platinum di sini.

Beliau berkata keputusan pembiayaan tersebut dibuat selepas penyenaraian kerana Felda mendapat dana yang besar daripada penyenaraian itu.

Pengumuman ini sekaligus menangkis tohmahan pembangkang yang menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut. FGV disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas. Pembayaran dividen ini adalah tambahan buat kira-kira 103,000 peneroka yang menerima durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.

Mengulas tentang prestasi FGV, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Prestasi FGV berada pada landasan yang betul. Sudah tentu ia bergantung kepada harga minyak sawit tetapi setakat mengikut sasaran. Keuntungan yang dijangkakan Insya Allah akan boleh dicapai."

Sebelum ini Najib berkata FGV dijangka mencatat keuntungan sebanyak RM1.5 bilion pada tahun hadapan.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata Felda memperuntukkan RM360.7 juta untuk membiayai sepenuhnya 800 unit saham yang diberi kepada setiap peneroka.

"Peneroka hanya perlu membayar RM50 sebulan dan dividen dimiliki sepenuhnya oleh peneroka."

Najib berkata ini bertujuan meringankan beban peneroka Felda.

"Peneroka bukan sahaja akan mendapat satu tapi dua dividen iaitu daripada saham FGV dan penabungan dana amanah sebanyak 20 peratus," katanya.

Najib berkata dalam masa dua bulan penyenaraian, sebanyak RM5.99 bilion telah dikreditkan ke dalam dana Felda. "Dan jika termasuk dengan FGV, ia mencapai sebanyak RM10.5 bilion," kata beliau.

Najib berkata durian runtuh sebanyak RM5,000 yang dijanjikan kepada anak-anak Felda, akan dibayar pada Oktober depan.

Bercakap mengenai bangunan Felda Platinum yang pembeliannya dikritik hebat oleh pembangkang, Najib berkata bangunan itu kini bernilai RM1.1 bilion.

"Kita belanja RM700 juta termasuk peralatan dalamannya. Hari ini kita dah lihat hasilnya, kita dah untung RM400 juta."

"Bangunan ini melambangkan kejayaan Felda dan sudah ada penyewa antarabangsa yang berminat untuk menyewa 15 tingkat daripada 50 tingkat bangunan ini," kata beliau . (Bernama)

No comments:

Post a Comment