Wednesday 29 August 2012

MABUK, WARGA FILIPINA BUNUH DUA WANITA




MATI....Salah seorang mangsa yang mati dibunuh oleh suspek dalam kejadian berkenaan.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Gara-gara mabuk minuman keras, seorang lelaki warga Filipina bertindak ganas sehingga tergamak membunuh dua wanita tidak berdosa dalam satu insiden berdarah di Kampung Cenderakasih, Kolombong dekat sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam itu, suspek berusia 30an dikatakan mengganas setelah ditegur oleh sepasang suami isteri kerana tingkahlakunya meminum minuman keras di kawasan kejiranan terbabit.

Berang ditegur, suspek yang difahamkan di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya bertindak menikam leher isteri pasangan itu dikenali sebagai Bibia Daud, 40, di dalam bilik mereka.

Suami mangsa, 52, kemudiannya mengejar suspek dan berlaku pergelutan di dalam rumah berkenaan.

Suspek yang berjaya melepaskan diri daripada pergelutan kemudiannya menikam seorang lagi mangsa, Jalijah Jalin, 30, yang ketika itu ingin memasuki rumah terbabit.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata suspek dilaporkan tinggal serumah dengan pasangan suami isteri terbabit.

Menurutnya, sebelum kejadian itu suspek ditegur oleh pasangan suami isteri berkenaan kerana banyak meminum minuman keras pada jam 7 malam itu.

Sementara itu, katanya, suspek dan suami mangsa pertama yang mengalami kecederaan kerana bergaduh kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Jauteh berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung tindakan suspek menikam mangsa kedua iaitu Jalijah, tetapi ia dipercayai dilakukan atas faktor mabuk.

Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. (UB)

No comments:

Post a Comment