Wednesday 29 August 2012

RM 7 JUTA UNTUK BINA RUMAH KEDAI SEDCO





SUMBANGAN.....MUSA (kanan) dan Mohd Arifin (dua kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada para penerima pada majlis itu.

Oleh : SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bakal meneruskan pelaksanaan projek pembangunan rumah kedai dengan kos lebih kurang RM7 juta.

Pengerusi Sedco, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata projek yang dinamakan Permata Wawasan itu akan dibangunkan di Pelantung, Beluran, Sungai Manila, Sandakan dan Tenghilan, Tuaran.

Menurutnya, projek itu melibatkan pembangunan sebanyak 28 unit rumah kedai dan akan mula dibina awal tahun depan dalam tempoh setahun.

“Setakat ini, lebih 20 unit projek pembangunan rumah kedai siap dibina di beberapa kawasan termasuklah di Membakut, Sindumin, Keningau, Ranau dan Long Pasia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Sedco di sini kelmarin.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Mengenai perkembangan perancangan pembangunan yang dilaksanakan Sedco, Mohd Ariffin berkata tahun ini juga pihaknya akan meneruskan pelbagai program menerusi anak-anak syarikat Sedco termasuklah program keusahawanan.

Jelasnya, sejak diadakan pada tahun 1970-an, seramai 18,000 orang peserta berjaya mengikuti kursus keusahawanan menerusi anjuran Sedcovest.

Selain itu katanya, pelaksanaan program Skim Pembangunan Usahawan Siswazah (SPUS) juga diteruskan bagi memberi pendedahan kepada golongan lepasan siswazah dalam bidang keusahawanan.

“Menerusi Program Usahawan Muda (PUM) yang diadakan di sekolah-sekolah menengah seluruh Sabah, lebih 40 buah kiosk berjaya diwujudkan bagi membantu para pelajar untuk menjalankan perniagaan,” jelasnya.

Beliau turut berkata, penganjuran majlis terbuka sempena Hari Raya dapat mengeratkan jalinan silaturahim antara keluarga besar Sedco dan anak syarikatnya serta jabatan dan agensi kerajaan.

Tambahnya, majlis seumpama itu penting bagi memastikan hubungan kerjasama serta permuafakatan yang terjalin antara satu sama lain dapat dijaga.

“Tahun ini juga Sedco mengeluarkan zakat perniagaan kepada Pusat Zakat Sabah sebanyak RM200,000,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 21 orang anak yatim menerima sumbangan daripada Sedco yang disampaikan oleh Ketua Menteri. (UB)

No comments:

Post a Comment