KOTA KINABALU : Parti Maju
Sabah (SAPP) menyarankan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung
kebebasan berpersatuan dipinda agar wakil rakyat yang melompat parti wajib
meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
Presiden SAPP Datuk Yong
Teck Lee (gambar) berkata parti itu juga menyarankan agar wakil rakyat yang
meletak jawatan itu, jika beliau mahu, boleh bertanding semula bagi membolehkan
pengundi di kawasan terbabit menilai keputusannya melompat parti.
Beliau berkata peraturan ini
(untuk bertanding semula) memerlukan pindaan lanjut terhadap Perkara 48(6)
Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 17(5) Perlembagaan Negeri Sabah yang
menghalang seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan dipilih semula sebagai
Anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bagi tempoh lima tahun bermula dari
tarikh peletakan jawatan itu.
Yong berkata cadangan
pindaan ini adalah selaras dengan prinsip demokratik.
“Berdasarkan sejarah
melompat parti di Sabah atas sebab-sebab yang salah, SAPP berpendapat kita
sememangnya memerlukan prinsip antilompat dan bertanding semula ini dalam
budaya politik kita dengan meminda Perlembagaan Persekutuan dan negeri,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata undang-undang
antilompat pernah diperuntuk dalam Perlembagaan Negeri Sabah pada 1986, sebelum
Mahkamah Persekutuan memutuskan ia adalah ‘ultra vires’ atau bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment