Thursday 30 August 2012

UMNO SILAM TERBAIK DI MALAYSIA!




Oleh: RIDZAL ABDULLAH

NEGERI di bawah bayu akan terus membangun di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah yang diterjui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sri Panglima Mohd Ali Rustam menyatakan bahawa Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri ini telah menunjukkan kepimpinan yang sangat cemerlang dalam segala aspek.

“Saya amat yakin dengan kepimpinan rakan saya (Musa) dan BN Sabah dan saya yakin Sabah kekal menjadi simpanan tetap BN bagi mempertahankan kerusi BN di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

"Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Silam di Dewan Seri Perdana, Lahad Datu.

Ali berkata Umno yang menjadi tulang belakang BN juga semakin kukuh di Sabah yang terus menerus menerima dan mempunyai ramai keahlian,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Umno Bahagian Silam, di bawah kepimpinan Ketua Bahagiannya, Datuk Nasrun Datu Mansur adalah antara bahagian Umno terbaik dan termantap di negeri ini dan juga di peringkat nasional yang mempunyai keahlian terbesar setakat ini.

Untuk rekod, lebih 40,000 orang menyertai Umno kawasan Parlimen Silam menjadikan kawasan tersebut memiliki ahli teramai di seluruh Malaysia pada masa kini.

“Keupayaan bahagian Umno Silam menambah dan memperbanyakkan keahlian menunjukkan prestasi kepimpinan bahagian ini cukup baik sekali,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

Di majlis itu juga, Ali menggesa rakyat agar tidak goyah dengan ‘omong kosong’ pembangkang yang hanya menabur janji namun masih belum dapat mentadbir kawasan yang telah dimenangi pada pilihan raya umum yang lalu seperti di Selangor, yang telah menjanjikan banyak benda namun hanya tinggal janji.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampong Puyon (mewakili badan perhubungan Umno Sabah), Timbalan Ketua Bahagian Silam, Datuk Mohd Suhaili Said; Naib Ketua Bahagian, Datuk Jasa Raudah; Bendahari Bahagian, Datuk Nilwan Kabang; Ketua Pemuda, Abd.Halim Gulam Hassan; Ketua Wanita, Saleha Abd Wahid dan Ketua Puteri, Mizma Appehdullah.

No comments:

Post a Comment