Friday 31 August 2012

MAJLIS HARI RAYA KOSAN TUARAN PERKUKUHKAN SETIAKAWAN




UCAPAN.......kelihatan Haji Ghulabdin (ketiga dari kanan) sedang memberikan ucapan di majlis tersebut. Turut kelihatan Pengurus Besar KOSAN, Haji Junian Yunus (ketiga dari kiri).

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

TUARAN:  Majlis Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Kilang Pakaian Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) Tuaran dekat sini kelmarin merupakan satu amalan yang tentunya menjadi platform ke arah memperkukuhkan semangat setiakawan dan persaudaraan di kalangan kakitangan serta pekerja yang terdiri dari pelbagai kaum di daerah ini.

Timbalan Pengerusi KOSAN, Haji Ghulabdin Enjih berkata, majlis hari raya aidilfitri atau apa-apa juga perayaan adalah merupakan kesempatan yang membolehkan kesemua kakitangan dan pekerja untuk bermesra dan seterusnya menjalin silaturrahim yang lebih akrab di kalangan mereka.

"Kita sedar semua kakitangan dan pekerja sentiasa serius menjalankan tanggungjawab masing-masing yang membataskan mereka untuk menjalin  tali persahabatan, maka sudah tentu dengan adanya majlis hari raya aidilfitri ini akan membuka ruang lebih luas untuk mereka merapatkan persefahaman dan kerjasama yang lebih kukuh lagi.

"Penganjuran majlis murni seperti inilah yang kita mahukan supaya nilai perpaduan yang sejati akan terus subur dan ianya boleh menjadi lambang kasih abadi yang akan menjadi inti terhadap keharmonian hakiki," kata Haji Ghulabdin ketika berucap di Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran kakitangan dan pekerja Kilang Pakaian KOSAN Tuaran di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha KOSAN,Gabriel Lohuban; Bendahari KOSAN, Hassan Mansor serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripaada Datuk Haji Baisulkhan Salman Farish, Datuk Haji Arshad Idris, Haji Abdul Razak Awang Duraman, Haji Noorzain Haji Tawi dan Golubi Guntarik.

Turut juga hadir Pengurus Besar KOSAN, Haji Junian Haji Yunus; Pengurus Kilang Kasut Papar, Haji Wah Shah Abdul Rahman dan Pengurus Kilang Pakaian KOSAN Tuaran, Johanis Saliun.

Sehubungan dengan penganjuran Majlis Hari Raya itu, Haji Ghulabdin berharap ianya boleh menjadi titik tolak kepada jalinan kerja yang lebih efesyen dalam menentukan hala tuju KOSAN dapat dicapai ke arah mendepani keperluan perniagaannya yang lebih kompetatif pada masa hadapan.

"Saya dan Ahli Lembaga Pengarah koperasi ini yakin jika kakitangan dan pekerja meneruskan perkhidmatan yang lebih baik lagi pada masa hadapan, sudah tentu KOSAN boleh mengekalkan keuntungan seperti tahun ini sebanyak RM3 juta," kata Haji Ghulabdin lagi.

Beliau berharap hasil dari majlis yang diadakan itu akan berupaya memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama di antara pengurusan dan kakitangan kerana semua ini adalah interumen yang  akan membolehkan semua pekerja  dari pelbagi kaum menjayakan visi dan misi KOSAN untuk mengeluarkan produk komersil pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment