Monday 27 August 2012

KESETIAAN KUNCI KEKUATAN UMNO






Oleh: RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Ketua Umno Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata kesetiaan ahli adalah kunci kepada kecemerlangan dan kekuatan Umno selama ini.

Oleh itu, katanya, kesetiaan membabitkan ahli-ahli Umno itu perlu terus diperkukuhkan untuk memastikan Umno kekal sebagai sebuah parti yang unggul.

Nasrun berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana di sini, kelmarin.

Mesyuarat yang dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia; Datuk Seri Panglima Ali Rustam turut dihadiri Ahli Parlimen Silam; Haji Salleh Kalbi; Ketua Umno Bahagian Sandakan merangkap wakil Perhubungan Umno Sabah, Tan Sri Ampong Puyong; Timbalan Ketua Umno Silam, Datuk Mohd. Suhaili Said; Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) kawasan Kunak yang juga merupakan Bendahari Umno Silam, Datuk Nilwan Kabang; Ketua Pergerakan Puteri Umno Silam, Mizma Appehdullah; Ketua Wanita Umno Silam, Salleha Abd.Wahid; Ketua Pemuda Umno Silam, Abd.Halim Gulam Hassan; Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datin Maizatul Akmam Datuk Alawi dan para pemerhati daripada parti-parti komponen BN Silam.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu dalam ucapannya menyeru semua ahli Umno memberikan sepenuh taat setia dan sentiasa mematuhi perlembagaan parti.

Tegasnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini telah berusaha sebaik mungkin dalam merealisasikan pembangunan demi manfaat keseluruhan rakyat.

‘’Rakyat khasnya di Silam dapat melihat sendiri pelbagai pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan antaranya, pembinaan jalan raya dua hala dengan kos sebanyak RM 78 juta.

‘’Kerajaan juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 12 juta bagi membina kompleks sukan daerah ini dan sebagai menepati janji, kerajaan juga akan membina sebuah sekolah menengah agama yang dijadualkan akan mula dilaksanakan pada tahun ini.

‘’Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sangat komited dalam membawa pembangunan dan kemajuan yang semuanya demi keselesaan hidup rakyat,’’ katanya.

Nasrun yang juga Pengerusi Penyelaras BN Silam berkata, selain tumpuan terhadap pembangunan POIC dengan melibatkan kilang-kilang berasaskan sawit, kerajaan juga akan membina loji elektrik 300 megawatt dengan penggunaan gas LNG yang bernilai hampir RM 2 bilion.

Justeru itu, beliau menasihatkan rakyat terutamanya di Silam supaya tidak sesekali terpedaya dengan janji-janji yang ditabur pembangkang. Ini kerana, katanya, semua  itu adalah dakyah dan janji-janji kosong pembangkang.

‘’Janji Ditepati adalah relevan kepada kerajaan sebagaimana  janji kerajaan  kepada rakyat yang dibuat sebelum ini, semuanya telah dikotakan. Hal ini berbeza dengan pembangkang, yang mana, hanya pandai membuat janji-janji kosong,’’katanya.

Dalam pada itu, Nasrun menasihatkan ahli Umno dari bersikap sombong dan angkuh dengan kekayaan yang dimilki, kerana ianya boleh membawa padah dan menjejaskan ahli-ahli lain dan Umno terutamanya.





Nasrun turut mengingatkan ahli Umno yang mahu melobi sebagai calon pada pilihan raya nanti, supaya berdisiplin dan mematuhi peraturan serta perlembagaan parti.

Sementara itu, Mohd Ali yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka, memuji barisan kepimpinan  khususnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman yang berjaya memimpin dengan cemerlang dalam segala aspek termasuklah pelaksanaan pelbagai pembangunan dengan terus mengutamakan soal kebajikan rakyat.

Menurutnya, Umno Bahagian Silam yang diterajui Nasrun bukan sahaja antara Bahagian Umno yang terbaik di negeri ini dan terbaik seluruh negara, tetapi telah mencatatkan jumlah keahlian yang paling ramai ketika ini.

Berdasarkan pencapaian  itu, Ali melahirkan keyakinan bahawa Sabah kekal sebagai ‘fixed deposit’ BN mempertahankan kesemua kerusi Parlimen di Sabah.

‘’Jangan goyah dengan cakap-cakap  pembangkang yang semuanya hanyalah ‘omong kosong’. Mereka hanya pandai membuat janji, yang mana, selama ini mereka sedikit pun tidak pernah berjasa kepada rakyat. Buktinya, bukan sahaja janji tinggal janji, Selangor yang dimenangi PRU lepas gagal ditadbir,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment