BERSIH Sabah menyokong penuh
perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ yang bakal berlangsung pada ambang Hari Merdeka
di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Himpunan ini sebenarnya adalah bertujuan
untuk meraikan semangat kemerdekaan dan mengingatkan kerajaan sekali lagi
tentang lapan tuntutan Bersih yang harus ditunaikan bagi menambahbaik sistem
pilihanraya yang sedia ada.
“Kami mahu kerajaan
benar-benar melaksanakan tuntutan rakyat dan janji-janji mereka, bukan hanya
sebagai retorik semata-mata. Oleh itu himpunan ‘Janji Demokrasi’ ini adalah
bertepatan kerana asas kemerdekaan adalah jaminan hak-hak asasi dan kebebasan
semua rakyat,” kata jurucakap Bersih Sabah, Andrew Ambrose.
Katanya lagi, sebagai rakyat
Malaysia yang berdaulat dan merdeka, setiap individu mempunyai hak untuk
menghadiri sebarang perayaan atau sambutan dengan memakai apa sahaja yang
mereka mahu. Kerajaan perlu sedar bahawa rakyat sedang menuntut pemerintahan
yang telus, pilihanraya yang bersih dan adil, serta masa depan yang lebih baik.
Ini semua adalah tunjang kepada negara demokrasi.
Sambutan Hari Kemerdekaan
Peringkat Negeri Sabah akan diadakan pada 31 Ogos 2012 di Dataran Bandaraya
Kota Kinabalu (depan Hotel Promenade) bermula jam 6.30 pagi. Sehubungan dengan
itu, Bersih Sabah menyeru agar semua rakyat Sabah yang prihatin untuk turun
beramai-ramai pada hari tersebut dengan memakai baju warna kuning atau hijau
sebagai tanda sokongan mereka.
No comments:
Post a Comment