Thursday 30 August 2012

SABAH GERBANG PELUANG BIMP-EAGA





Oleh : TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

SINGAPURA : Sabah adalah tempat terbaik untuk pelabur mengambil peluang kekayaan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kata Menteri Pembangunan Industri Sabah Datuk Raymond Tan.

Tan berkata Sabah, yang telah ada hubungan udara dan laut ke pelabuhan-pelabuhan utama di wilayah itu, menyasarkan untuk memainkan peranannya sebagai hub logistik untuk minyak sayuran di BIMP-EAGA.

"Di Lahad Datu, pusat aktiviti minyak sawit, kami telah membangunkan kluster industri minyak sawit untuk membangunkan industri hiliran, bio jisim kelapa sawit, perkapalan serta minyak dan gas," katanya dalam ucapannya di Forum Rangkaian Bekalan Asia di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mengiktiraf potensi Lahad Datu dan telah bersetuju menyediakan dana untuk membina pelabuhan kontena di Lahad Datu.

Tan berkata Sabah membekalkan kira-kira 34 peratus daripada minyak sawit Malaysia.

"Tidak lama lagi, Sabah dan Sarawak akan mengeluarkan lebih separuh daripada minyak sawit mentah Malaysia sebanyak 16 juta tan metrik, dan ini adalah kira-kira tiga perempat daripada pengeluaran dunia," katanya.

Beliau berkata syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd, membelanjakan lebih satu bilion ringgit untuk membina kilang pengegasan semula.

"Ini berpotensi untuk menjana pelbagai pelaburan berkaitan gas," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment