Tuesday, 28 August 2012

TSUNAMI POLITIK, LAGU SAMA, LIRIK BERBEZA





Oleh : WAN HAFIZ WAN HAMZAH

KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan seolah-olah akan berlakunya 'Tsunami Politik' di Sabah pada PRU yang ke 13 disifatkan oleh Datuk Seri Salleh Said sebagai satu lagi rekaan yang terhasil dari impian Anwar, sama seperti episod pembohongan 16 September yang pernah dilakukan  oleh beliau beberapa tahun yang lalu.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, rakyat di Sabah hari ini berada di dalam keadaan yang  selesa, aman dan makmur di bawah pemerintahan BN yang terbukti telah banyak berjasa dan berkhidmat kepada rakyat di negeri itu sejak dulu lagi.

“Rakyat Sabah amat menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan segala program tranformasi yang dilakukan oleh kerajaan di bawah kepimpinan beliau yang mendahulukan kebajikan rakyat di negara ini, khususnya rakyat di Sabah.

“Justeru itu, saya tidak nampak sebarang sebab yang boleh menyebabkan berlakunya tsunami politik di Sabah apatah lagi, rakyat Sabah adalah rakyat yang mengenang jasa dan tahu membalas budi terhadap kerajaan yang selama ini banyak membantu mempertingkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini,” ujar beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Sehubungan itu, apa yang cuba digembar gemburkan oleh Datuk Seri Anwar bahawa akan berlakunya tsunami politik di Sabah yang hanya semata-mata berdasarkan senario tiga pemimpin parti komponen UMNO dan BN yang beralih arah berpihak kepada beliau, hanyalah  satu omong kosong Ketua Pembangkang itu untuk mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat di negara ini, khususnya di Sabah.

“Ini adalah satu lagi strategi provokasi yang cuba dicetuskan oleh Ketua Pembangkang bagi membuatkan rakyat keliru dan terpengaruh, di mana modus operandinya saling tak tumpah dengan peristiwa hitam 16 September yang ternyata hari ini, ia merupakan  satu andaian dan khayalan Datuk Seri Anwar semata-mata. Hari ini, beliau cuba mendendangkan lagi lagu yang sama, cuma kali ini liriknya saja yang ditukar,” tegas beliau lagi.

Tambah beliau, semenjak peristiwa 16 September  lalu, segala muslihat dan helah politik Anwar sudah dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat di negara ini terutamanya di Sabah, yang ternyata memperlihatkan sikap dan kata-kata Penasihat PKR itu bagaikan gema dari tin kosong yang tidak ada isi kebenarannya.

“Saya yakin bahawa rakyat, khasnya di Sabah tidak akan terpengaruh dan tertipu untuk kali kedua dengan helah dan tipu daya Anwar yang sekali lagi  mencanangkan bahawa  akan berlakunya tsunami politik di Sabah.

“Cukuplah pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh beliau sepanjang empat tahun ini di mana hari ini rakyat sudah sedar, bahawa individu yang bernama Anwar Ibrahim itu hanyalah seorang yang  pandai  bermain kata-kata, malah sanggup membohongi  rakyat demi kuasa dan jawatan PM yang menjadi idamannya sejak sekian lama,” ujarnya lagi. (MediaUMNO)

No comments:

Post a Comment