Thursday, 30 August 2012

PENAPIS AIR 1 MALAYSIA ADA E.COLI?





KOTA BHARU: Saban hari media harian memaparkan keprihatinan kerajaan pusat mengatasi masalah bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat di bawah projek Penapis Air 1 Malaysia.

Projek berkenaan dikendalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) menggunakan penapis Ultra BIO Pure, di mana dilaporkan berharga antara RM65,000 hingga RM95,000 seunit.

Sehingga kini beberapa lokasi sudah dipasang peralatan tersebut termasuk Kampung Belukar di Pasir Mas dan Kampung Derdap, Tumpat.

Di Kampung Belukar dipasang di sebelah rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).  Dan Projek Penapis Air 1 Malaysia Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Secara jelasnya projek berkenaan biar pun di bawah peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM2 juta, namun ia ada kaitkan secara langsung dengan Umno.

Biar pun rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi tekanan rendah sebelum ini sekarang menerima tambahan bekalan air melalui projek berkenaan, namun ada isu lain pula yang tidak diketahui umum.

Berdasar kepada keputusan makmal yang dikeluarkan sebuah badan daripada kajian sampel air di Kampung Derdak, Tumpat didapati banyak yang tidak menepati piawaian ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Antaranya ujian pH didapati gagal di mana keputusan didapati 6.050 sedangkan standard ditetapkan 6.5.

Begitu juga ujian baki klorin didapati gagal di mana hasil diperolehi 0.01 mg/l sedangkan ditetapkan SPAN tidak kurang 0.2 mg/l.

Manakala kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN, di mana ujian mendapati  0.62 mg/l, sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3 mg/l.

Bagaimanapun menurut kajian tersebut paling membimbangkan ujian kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya tiada bahan tersebut.

Begitu juga dengan ujian kandungan  E.coli didapati terdapat 4 cfu/100ml, sedangkan sepatutnya 0 cfu/100ml.

Sumber pakar dalam industri air berkata, sepatutnya SPAN dan Jabatan Kesihatan tidak berdiam diri terhadap isu yang dibangkit tersebut kerana dibimbangi boleh memudaratkan orang ramai. (Harakahdaily)

No comments:

Post a Comment