Wednesday, 29 August 2012

SABAH DAN KEDAH MENANTI KUNJUNGAN NAJIB





KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Umno Kedah di Alor Setar dan di rumah terbuka anjuran lima bahagian Umno Sabah di Sandakan, pada minggu ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan menghadiri rumah terbuka Umno Kedah di Stadium Darulaman Alor Setar pada Khamis ini, dan majlis rumah terbuka anjuran Umno Zon Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan pada Ahad ini.

Di KULIM, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ribuan penduduk pelbagai kaum di negeri ini dijangka menghadiri majlis rumah terbuka itu yang akan bermula pada pukul 11 pagi Khamis ini.

Beliau berkata Najib dijangka menghadiri majlis itu pada pukul 12 tengah hari selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Baling di Kompleks Rakan Muda Baling di sebelah pagi.

" Saya menjemput semua rakyat Kedah menghadiri majlis ini yang bermula 11 pagi hingga 4 petang, yang akan mengadakan pelbagai juadah berkonsepkan gerai yang disediakan oleh 15 bahagian Umno negeri itu, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, serta parti komponen Barisan Nasional," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata Najib akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Sabah mulai Sabtu ini, dan dijangka tiba di Sandakan pada sebelah malam.

Pada pagi Ahad, Perdana Menteri dijadual merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Zon 5, yang merangkumi Umno bahagian Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan, sebelum menghadiri menghadiri rumah terbuka kelima-lima bahagian Umno itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) di Wisma Muis.

Musa berkata Najib selepas itu akan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri rumah terbuka Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Kampung Rampayan Laut Kota Belud, bahagian pantai utara Sabah sebelum pulang ke ibu negara.

Beliau berkata lawatan itu membuktikan Perdana Menteri suka mendekati rakyat "di mana sahaja mereka berada," dan turut menjemput rakyat datang beramai-ramai bagi memeriahkan kedua-dua rumah terbuka itu.

Sementara itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan mengadakan Karnival Komuniti 1Malaysia negeri Sabah di Rampayan Laut, Kota Belud selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul berkata karnival anjuran bersama pejabat daerah Kota Belud dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) bertujuan memperkasa komuniti 1Malaysia di seluruh negara bagi merealisasikan agenda negara.

Almain berkata majlis perasmian karnival itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Sabtu ini. (Bernama).

No comments:

Post a Comment