Wednesday, 29 August 2012

TENGHILAN PULA KERING KONTANG?






TAMPARULI: Masalah ketiadaan bekalan air sejak seminggu lalu di sekitar kawasan Tenghilan, dekat sini terus menimbulkan masalah kepada ribuan penduduk. Difahamkan, masalah itu berlarutan sehingga berita ini ditulis sejak Rabu minggu lalu, dan masih belum dapat diselesaikan sehingga sekarang.

Masalah kali ini, disifatkan penduduk kritikal daripada sebelumnya yang hanya berlaku beberapa hari. Mereka juga mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada pihak Jabatan Air Daerah sebagaimana kebiasaan.

“Sekurang-kurangnya kalau bagi notis kita boleh simpan air,” kata Joseph, 45 tahun, yang sudah menginap di Kampung Molisau, Tenghilan lebih 20 tahun lalu.

Menceritakan masalahnya sebelum ini, beliau berkata, ketiadaan bekalan air itu menyebabkan mereka terpaksa memandu kira-kira 10 Kilometer jaraknya setiap hari untuk mendapatkan air dan mandi di sungai Dondomon, dekat sini.

“Bila nak membasuh kena pergi sungai. Kalau tak ada air susah. Kita bukan boleh buat perigi sesuka hati tanpa sumber. Saya harap pemimpin rakyat akan dapat buat yang terbaik supaya air akan berterusan,” katanya.

Katanya, perkara itu lambat-laun akan membuatkan masyarakat mempersoalkan kewibawaan agensi terlibat termasuk pemimpin rakyat di kawasan tersebut jika masih tiada tindakan diambil.

‘Sukar membayangkan negara kita sudah merdeka lebih 55 tahun tetapi masalah air seperti ini masih timbul,” keluhnya lagi.

Menurutnya, jika sebelum ini masalah air di situ tidaklah terlalu merumitkan walaupun air paip di situ sebenarnya sering kali ‘ada ’ dan ‘tiada’, namun sekurang-kurangnya bekalan tidak terhenti.

Namun jika bekalan itu terhenti sehingga tempoh hampir seminggu, sudah pasti masyarakat akan merungut kerana air merupakan sumber keperluan harian.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini, cuti sekolah sempena hari raya telah pun berakhir, jadi sudah tentu keperluan air adalah untuk membasuh kain baju, pinggan mangkuk dan memasak. Namun, tanpa air, apa yang kami hendak masak?,” soalnya kesal.

Tertekan dengan masalah itu, beberapa penduduk mendakwa telah membuat aduan bagaimanapun, menyuarakan kekesalan dengan maklum balas diterima daripada kakitangan jabatan berkaitan yang dianggap bersikap acuh tak acuh melayan pengguna.

Malah terdapat seorang penduduk memberitahu akhbar ini, kakitangan yang sepatutnya bertugas memantau masalah itu mengabaikan tanggungjawabnya.

“Apabila ditanya mengenai masalah gangguan bekalan air yang berlarutan, ada kakitangan lain mengatakan kakitangan terlibat (nama diberikan kepada wartawan), sama ada sudah keluar atau mewakilkan orang lain untuk melakukan tugasan,” dakwanya.

Kakitangan jabatan itu juga katanya, seolah menyokong sekiranya masalah ini didedahkan menerusi media apabila berkata, “bagus juga (siarkan di akhbar), sebab kami pun tidak ‘tahu’ ‘mahu’ buat apa lagi… susah ‘mahu’ cari dia.”

Sementara itu, seorang pegawai dari Jabatan Air daerah itu, Janih Bangud, ketika dihubungi New Sabah Times kelamrin memberitahu bahawa pihaknya mendapat aduan beberapa pengguna pada Jumaat lepas dan telah pun memantau kerosakan paip melibatkan kawasan sekitar daerah berkenaan, namun sehingga kini masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar masalah itu.

Walau bagaimanapun, pihaknya berjanji akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana menyedari air merupakan keperluan seluruh masyarakat.

“Kami mohon maaf atas kesulitan ini, dan berharap semuanya bersabar, dan kalau boleh maklumkan kepada kami jika keadaan mendesak, lori tangki air kami bersedia menghantar bekalan air,” ujar beliau. (NST)

No comments:

Post a Comment