CYBERJAYA : Presiden Parti
Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu berada di
landasan betul bersama Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Timbalan
Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar itu menyelar langkah pembangkang yang
didakwa terus melobi pemimpin BN terutamanya di Sabah untuk menyertai pakatan
pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
“Ini cara yang tidak baik.
Dia orang ini (pembangkang) sentiasa mencari wakil rakyat BN di Sabah. Kami
berpendapat bahawa ia bukan cara baik untuk mendapat kekuatan atau sokongan
daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pelaksanaan pelan pengurusan
penghapusan HCFC (hidrokloroflorokarbon) peringkat pertama bagi pematuhan
kepada Protokol Montreal, di sini kelmarin.
Beliau mendakwa pemimpin
pembangkang turut pernah melobi pemimpin bawahan parti itu untuk menyertai
mereka bagi menghadapi PRU-13.
“Mereka tidak cakap (melobi)
dengan saya, tetapi mereka ada cakap dengan orang-orang (pemimpin) di bawah
saya. Saya hanya beritahu mereka yang mereka salah orang. Kami (PBRS) berada di
landasan betul (bersama BN),” katanya.
Pembangkang dikatakan
melipatgandakan usaha menarik pemimpin BN menyertai pakatan pembangkang selepas
berjaya menarik sokongan anggota Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan
anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing bulan lepas. (Bernama)
No comments:
Post a Comment