Tuesday 28 August 2012

MASA DEPAN GOLONGAN MUDA CERAH BERSAMA BN




TIBA......Shafie Apdal (tengah) diiringi (dari kiri) Sairin Karno dan Azman Ruslan semasa tiba untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Keningau di di Dewan Sekolah Menengah Ken Hwa, Keningau.

KENINGAU : Masa depan golongan muda dalam Barisan Nasional (BN) amat cerah dengan peluang dalam pelbagai aspek terbuka luas untuk mereka berikutan proses meremajakan UMNO akan terus menjadi antara agenda penting dalam memartabatkan parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha itu merupakan antara agenda penting parti di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya yakin Perdana Menteri yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO akan mengambil berat tentang perkara ini (meremajakan UMNO) kerana di dalam hati sanubari beliau hubungannya amat kuat dengan anak-anak muda.

"Kita hendak pastikan bukan hanya kita mendengar suara mereka tetapi juga penyertaan mereka dalam pilihan raya akan datang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Keningau di Dewan Sekolah Menengah Ken Hwa Keningau di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno; Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Keningau, Azman Ruslan dan Ketua Puteri UMNO Keningau, Junaidah Sapri.

Menurut Mohd. Shafie, proses meremajakan parti merupakan satu perkara yang penting dan perlu dalam UMNO bagi memastikan ia terus relevan.

Bagaimanapun, katanya, dalam melakukan proses itu mana-mana calon muda yang dipilih haruslah diterima masyarakat dan tidak berlandaskan populariti semata-mata.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses meremajakan UMNO dan BN yang dilakukan secara berterusan jauh lebih matang daripada yang dilakukan pakatan pembangkang.

Jelasnya, ini dapat dilihat apabila DAP masih mengekalkan Lim Kit Siang dan Karpal Singh, manakala Pas pula masih dipimpin Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Mohd. Shafie mengingatkan golongan akar umbi khususnya golongan muda supaya membuat pilihan yang betul dalam pilihan raya nanti dengan berlandaskan kematangan, bukannya mengikut emosi semata-mata.

Menurutnya, hanya BN yang terbukti mampu menjamin masa depan negara dan rakyat berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji. (UM)

No comments:

Post a Comment