Oleh : BOO SU-LYN
KUALA LUMPUR : Putrajaya
tidak akan berkompromi tetapi akan mengambil tindakan tegas ke atas Pakatan
Rakyat (PR) jika mencetuskan kekecohan di jalanan, kata Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Akhbar harian pro-Umno,
Utusan Malaysia melaporkan Ahmad Zahid berkata hari ini pencegahan lebih baik
daripada merawat, ia susulan berpuluh ribu orang ramai membanjiri enam siri
jelajah PR seluruh negara ke atas dakwaan penipuan pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) pada 5 Mei lalu.
“Saya tidak akan memberi
amaran tetapi tunggulah tindakan tegas,” kata Ahmad Zahid yang dipetik berkata
di muda depan akhbar berbahasa Melayu tersebut.
Artikel muka depan akhbar
Utusan Malaysia hari ini bertajuk “KDN: Tiada kompromi” dan menteri kabinet
baru tersebut dipetik berkata “Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian,
dan pencegahan awal itu lebih murah ‘harganya’ berbanding penyelesaian
masalah”.
Operasi Lalang atau Ops
Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian
Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.
Dalam Operasi Lalang ini,
seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), penangkapan kedua terbesar dalam sejarah negara
sejak berlaku insiden pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969.
Walaubagaimanapun, ISA yang
membenarkan penahanan tanpa perbicaraan telah dimansuhkan pada 2012 dan
digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA)
dimana kerajaan tidak boleh menahan tanpa perbicaraan.
Aktivis hak asasi manusia,
bagaimanapun, telah mengkritik undang-undang baru tersebut kerana ia memberikan
kuasa luas kepada kerajaan untuk mentakrif sebarang bentuk ancaman daripada
pembangkang dan mendakwa mereka.
Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim mempertikaikan ketelusan pilihan raya baru-baru ini serta enggan
mengiktiraf kerajaan Barisan Nasional (BN) serta menuduh pilihan raya umum 5
Mei penuh dengan penipuan.
Jumlah undi popular yang
diperoleh PR ialah 5.5 juta undi dengan 89 kerusi Parlimen manakala BN mendapat
5.2 juta undi dengan 133 kerusi Parlimen, keputusan yang pertama kali berlaku
dalam sejarah negara sejak mencapai Kemerdekaan 1957.
Ahli Parlimen Bagan Datoh BN
tersebut yang baru dilantik dalam Kabinet baru-baru ini menunjukkan
kelantangannya apabila menggesa pengundi yang tidak berpuas hati dengan
keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berpindah ke negara republik.
“Jika golongan ini mahu
menerima pakai single transferable vote yang digunakan oleh negara republik,
sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan
kepercayaan politik mereka.
“Malaysia bukan negara untuk
menterjemahkan kepercayaan politik mereka. Jika benar setia kepada negara kena
terima sistem politik yang membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam Utusan
Malaysia pada 16 Mei.
Malah, akhbar MCA hari ini
juga melaporkan Ahmad Zahid mempertahankan kenyataannya serta menegaskan
kata-katanya telah diambil luar konteks.
“Saya sebenarnya berkata
siapa yang tidak yakin dengan sistem politik kita untuk ‘berhijrah’ ke negara
yang bersesuaian dengan sistem politik dikehendaki mereka,” kata beliau.
“Saya bukan perkauman. Saya
hanya bersikap praktikal dengan mengatakan kumpulan tersebut wajar ke negara
dimana mereka boleh terjemahkan kepercayaan politik mereka menjadi kenyataan,”
tambah beliau lagi.
Tindakan pemimpin tersebut
mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya DAP yang menyifatkan Ahmad Zahid
sebagai gagal memahami tentang permasalahan yang timbul dalam proses pilihan
raya di Malaysia, malahan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menyifatkan
pendirian tersebut adalah pandangan peribadi dan bukannya mewakili gabungan
parti pemerintah itu.
“Pertama, sistem
first-past-the-post yang diamalkan kita sekarang memberi kedudukan yang tidak
seimbang berbanding jumlah undi popular malah sempadan pilihan raya negara ini
telah lama terjejas, dimanipulasi sejak berdekad-dekad.
“Keduanya, kita mempunyai
sistem pilihan raya yang tidak sempurna dan sebab itu ratusan ribu rakyat
Malaysia menunjukkan kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku. Kita menuntut
sistem pilihan raya yang lebih baik,” kata
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua mengecam kenyataan Ahmad
Zahid tersebut.
Berpuluh-puluh ribu rakyat
Malaysia telah membanjiri lima perhimpunan anjuran PR di seluruh negara
baru-baru ini bagi membantah dakwaan penipuan yang berlaku pada pilihan raya
umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, serta menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
Penganalisis dan pemerhati
menyatakan BN mengekalkan kuasa pusat pada PRU13 dengan sokongan dan kekuatan
pengundi luar bandar, dengan sebahagian besar kerusi yang dimenangi mereka
adalah dari Sabah dan Sarawak, manakala pengundi kelas pertengahan dan bandar
yang tertumpu di kawasan yang lebih besar tidak lagi menyokong parti pemerintah
dan menyokong PR.
No comments:
Post a Comment