Oleh : AHMAD FADLI KC
KETUA Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gesaan agar rakyat yang tidak gembira
dengan sistem pilihan raya supaya berpindah keluar dari negara ini adalah satu
kenyataan sombong yang menghina rakyat.
"Kamu ingat negara ini
bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat," kata Anwar dalam pidatonya di
perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan malam tadi yang
dibanjiri kira-kira 30,000 orang.
Beliau mengulas kenyataan
itu yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam
rencananya yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2013.
Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng sebelum ini turut membidas tulisan itu yang disifatkannya sebagai
tidak masuk akal.
Menteri Belia dan Sukan yang
baru dilantik, Khairy Jamaluddin sebaliknya dilihat cuba meredakan reaksi orang
ramai berhubung kenyataan itu.
Menurutnya, kenyataan Zahid
itu mewakili pandangan peribadi Zahid dan bukan seluruh jemaah menteri.
Menegaskan gesaan tersebut
sebagai 'bodoh', Anwar dalam pidatonya turut membidas rencana tulisan Timbalan
Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan tentang undi popular yang disiarkan akhbar
sama, sehari selepas tulisan Zahid Hamidi diterbitkan.
Menurut Anwar, tindakan
Ahmad menggunakan perkataan 'liwat' dalam tulisannya untuk membincangkan undi
popular, adalah lucah dan tidak menghormati kebijaksanaan rakyat.
"Seorang lagi menteri
Umno kata (pembangkang) jangan 'meliwat' fikiran rakyat. (Ini) cara yg paling
lucah untuk menghina fikiran rakyat," kata Anwar.
Ahmad Maslan dalam
tulisannya mengingatkan pembangkang yang harus faham undang-undang negara ini
dan tidak harus 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri apabila mendakwa layak
memerintah berdasarkan peratusan undi popular yang diperoleh mereka.
Menurutnya, undang-undang
Malaysia menetapkan pemenang pilihan raya adalah berdasarkan jumlah kerusi yang
dimenangi, dan bukan jumlah undi popular. (MKINI)
No comments:
Post a Comment