MENANG....
Radin dan Raime mengangkat tangan sejurus selepas kemenangan mereka diumumkan
Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya Ajmal Haji Jumah.
Oleh: JACOB BALANG
TENOM: Spekulasi hangat
pelbagai pihak di sini sebelum pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) kononnya
akan berlaku perubahan kepimpinan pemimpin lama dan Barisan Nasional (BN) bakal
kecundang kerana pengundi golongan muda telah berpihak kepada pembangkang.
Bagaimanapun spekulasi tersebut
meleset apabila ketiga-tiga wakil rakyat di sini terdiri daripada Datuk Raime
Unggi berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Tenom untuk penggal ke-3; Datuk Radin
Malleh terus kekal bagi kerusi DUN Melalap untuk penggal ke-5 dan Datuk Rubin
Balang bagi DUN Kemabong untuk penggal ke-5.
Meskipun begitu, ketiga-tiga
mereka (wakil rakyat BN) turut menghadapi tekanan daripada pihak lawan khususnya
pembangkang yang kebanyakannya golongan muda dan cendikiawan; kecuali calon
Parti KITA Mutang @ Sylvester Dawat yang bertanding Parlimen Tenom.
“Saya dapat andaikan
kekuatan mereka sudah mula menurun kerana jika dilihat dari segi majoriti yang
mereka perolehi dalam PRU13 sudah menurun berbanding pada PRU12; manakala
perolehan undi daripada pembangkang semakin meningkat.
“Lagi pun, kekuatan
pembangkang tidak bulat dan berpecah kerana masing masing daripada mereka mahu
menang menyebabkan pengundi keliru bercampur dilema mana satu yang harus diberi
tumpuan,” kata seorang ahli politik veteran Haji Wahab Timpai.
AKUR
.....Roger Stimin hormati keputusan pengundi dan tetap meneruskan perjuangan
untuk membela rakyat.
Dalam pada itu, calon Parti
Maju Sabah (SAPP) bagi DUN Melalap Roger Stimin ketika dihubungi berkata,
beliau akur dan menerima keputusan rakyat; namun perjuangannya untuk membela
rakyat di kawasan Melalap pasti diteruskannya walaupun dalam percubaan
pertamanya gagal.
Tegasnya, kegagalan pertama
itu tidak bererti perjuangan beliau sudah berakhir kerana memerlukan masa yang
panjang untuk memberi keahaman kepada rakyat akar umbi akan intipati sebenar
halatuju perjuanganya termasuklah definisi 'perjuangan berintergriti' dan 'dari
rakyat kepada rakyat untuk rakyat'.
Beliau turut mengucapkan
tahniah kepada ketiga-tiga wakil rakyat BN yang menang dalam pemilihan itu dan
berharap agar mereka terus bekerja untuk menunaikan 'Aku Janji' yang mereka
sajikan kepada rakyat ketika berkempen semasa PRU13.
Keputusan pilihanraya umum
kali ke-13 (PRU) yang diumumkan jam 12.10 pagi Isnin di Dewan Sri Antanom
menyaksikan Parlimen P.181 Tenom, Datuk Raime bin Unggi (BN) mendapat undi
9,771; Mutang @ Sylvester bin Dawat (Parti KITA) 423; Jimmy Jawatah (SAPP)
1,766; Masdin Tumas (PKR) 5,885 dan Azroy Hasmin Abdullah (Star) 2,449.
Undi rosak sebanyak 632,
peratusan keluar mengundi 82.5 peratus manakala majoriti kemenangan BN sejumlah
3,886 undi.
Bagi kawasan DUN N.35
Melalap, Datuk Radin Malleh (BN) memperolehi undi sebanyak 4,643 undi; Roger
Stimin (SAPP) 2,044 undi; Noritah Sual (DAP) 1,997 undi dan Kong Fui Seng
(Star) 924 undi. Undi rosak sebanyak 222, peratusan keluar mengundi 81.4
peratus dan majoriti diperolehi Datuk Radin Malleh sebanyak 2,559 undi.
Manakala di kawasan DUN N.36
Kemabong, Datuk Rubin Balang (BN) 5,765 undi; William @ Ensor bin Tingkalor
(SAPP) 1,047; Tay Jin Siong @ Alfred 1,155 undi dan Biou bin Suyan (PKR) 2,733
undi. Undi rosak 404, peratusan keluar mengundi 84 peratus manakala majoriti
undi yang diperolehi Datuk Rubin Balang 3,032 undi.
No comments:
Post a Comment