Oleh: JACOB BALANG
TENOM: Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang baru dipilih selepas
pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional
(BN) wajar memberi kelebihan kuota pemimpin negeri ini dilantik ke dalam
kabinet Persekutuan kelak.
Beliau berkata, ini
disebabkan sokongan padu rakyat Sabah mengukuhkan kekuatan BN semasa PRU13
untuk mempertahankan Putrajaya daripada beralih ke tangan pembangkang.
Beliau berkata demikian pada
rabu sebagai menyokong gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad
seperti yang dilaporkan baru-baru ini, dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan
pusat harus memberi perhatian lebih penyertaan pemimpin Sabah dan Sarawak ke
dalam kabinet Persekutuan.
Tegas Mahathir, Sabah dan
Sarawak telah menyumbang banyak kerusi ketika PRU13 untuk memantapkan kemenangan
BN dan sudah pastilah suara mereka di dalam kerajaan (kabinet) perlu diberi
perhatian serius.
Rubin yang berjaya
mempertahankan kerusi DUN Kemabong bagi penggal ke-5 pada PRU13 itu berkata,
beliau berharap agar kerajaan pusat yang bakal dibentuk beberapa hari lagi akan
terus mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan beberapa masalah kedaifan prasarana
di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan Pedalaman.
“Sebagai contohnya, beberapa
batang jalanraya belum dinaiktaraf, bekalan air bersih, bekalan elektrik luar
bandar termasuklah prasarana pendidikan dan bahan pembelajaran masih belum
terlaksana walaupun permintaan sudah dikemukakan sebelum ini.
“Kita juga kekurangan tenaga
pengajar dan berharap dalam mandat baru ini, kerajaan kotakan janji serta
memberi peluang kepada tenaga pengajar dihantar untuk berkursus bagi mendalami
ilmu pengetahuan mereka dibeberapa Institusi pengajian tinggi di negara ini,”
tegas beliau lagi.
Selain itu, Rubin turut
meminta kerajaan BN mempastikan pengwujudan beberapa blok ekonomi di kawasan
luar bandar dengan mengaktifkan agensi kerajaan secara proaktif melaksanakan
tanggung jawab tersebut demi menggerakkan ekonomi setempat.
“Kita juga ingin melihat
penduduk yang dikenalpasti bergelut dalam masalah kemiskinan supaya dapat
dikeluarkan daripada kepompong masalah itu sebelum menjelangnya wawasan 2020
yang semakin menghampiri kita.
“Tidak ada cara lain lagi
untuk membalas budi baik mereka. Hanya dengan cara sebegini kerajaan BN dapat
membalas budi rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar; kerana
kesetiaan golongan ini kepada BN tidak dapat dipersoalkan.
“Kita tidak dapat memberi
seseorang ikan sebagai lauk santapannya setiap hari, sebaliknya adalah lebih
baik kita beri sahaja kail agar dia dapat mengail ikan setiap hari,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment