Monday 21 May 2012

40 PENIAGA INGIN BUKA GERAI DI RUMAH AMBIGA




KUALA LUMPUR : Sekumpulan 60 peniaga merancang untuk berniaga di kawasan kediaman Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara pada Khamis dan Jumaat ini.

Menamakan tindakan mereka sebagai “Bersih 4.0 Mencucikan Bersih 1, 2, 3”, peniaga terbabit berbuat demikian bagi menampung kerugian mereka akibat perhimpunan yang bertukar ganas yang dianjurkan Ambiga di ibu kota pada  28 April lepas.

Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md Yunus berkata mereka akan berniaga pelbagai barangan, makanan dan minuman dari pukul 3.30 petang sehingga 8 malam pada hari terbabit.

“Kami berharap dapat memperoleh kembali kerugian akibat perhimpunan itu. Dianggarkan setiap peniaga boleh mendapat antara RM300 hingga RM500 sehari jika berniaga di kawasan itu (kediaman Ambiga),” katanya pada sidang media, di sini kelmarin.

Turut hadir wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Majlis Perundangan Melayu serta peniaga kecil sekitar Kuala Lumpur.

Jamal berkata mereka akan meninjau kawasan itu esok sebelum memohon permit berniaga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa ini.

“Kami akan teruskan berniaga jika permohonan permit tidak diluluskan kerana perhimpunan haram yang diadakan sebelum ini juga diteruskan walaupun tidak diluluskan oleh polis dan DBKL,” katanya.

Beliau berkata selain menuntut ganti rugi, Bersih 4.0 itu bertujuan menyampaikan mesej kepada penganjur perhimpunan haram termasuk Ambiga agar tidak lagi mengadakan perhimpunan yang boleh menjejaskan pendapatan peniaga dan mengganggu kententeraman awam.

“Bersih 4.0 ini juga untuk mencucikan kembali perkataan ‘Bersih’ yang telah disalahgunakan oleh penganjur perhimpunan Bersih serta memohon kerajaan mengambil tindakan kepada penganjur perhimpunan haram itu,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, sekumpulan peniaga bertindak berhimpun dan membuka sebuah gerai burger di hadapan kediaman Ambiga, sebagai meluahkan rasa marah kerana menanggung kerugian selepas perhimpunan yang dianjurkan Ambiga dan disokong pembangkang itu berakhir dengan rusuhan. (Bernama)

5 comments:

  1. Sudah-sduahlah tu. Rasional la sikit.

    ReplyDelete
  2. Ambiga mesti bagi punya itu. Ambiga adalah seorang yang berjiwa BERSIH jadi mesti mengizinkan perkara ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..Ambiga juga memperjuangkan keadilan dan kebebasan

      Delete
  3. Tanda protes para peniaga dengan perhimpunan Bersih.

    ReplyDelete
  4. patut Ambiga arahkan peserta2 perhimpunan Bersih 3.0 datang ke rumahnya untuk melariskan jualan penjual2 burger ini.. confirm dapat cover semua kerugian yang mereka alami.. kalau dapat kumpul orang untuk sertai perhimpunan, takkan tidak dapat kumpul orang untuk beli burger..

    ReplyDelete