Monday 28 May 2012

JANGAN LAYAN POLITIK KOSONG PEMBANGKANG



Oleh : SHAIMON S JUMADI                      Foto : SAFFIE S JUMADI

PERGERAKAN Pemuda UMNO Bahagian Libaran yang merupakan sayap kanan dan tunjang kekuatan perjuangan UMNO Bahagian Libaran disaran supaya mengembleng tenaga menyusun jentera gerakan pilihanraya di cawangan masing-masing agar siap siaga menghadapi PRU 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Pemuda juga merupakan benteng pertahanan terakhir kepada kubu UMNO di setiap sudut. Sehubungan itu harus mempunyai semangat perjuangan yang kental sebagai Hulubalang yang akan menumpaskan musuh-musuh politik; sekaligus memastikan UMNO terus mendominasi politik Malaysia.

Ahli Parlimen Libaran yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Libaran, Datuk Hj Juslie Ajirol berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Libaran yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman yang tidak dapat  hadir kerana berada di Kuala Lumpur.

"Sebagai Sayap Kanan Parti, Pemuda UMNO harus membantu kepada pemimpin-pimimpin Bahagian untuk menangkis segala tohmahan-tohmahan yang berbentuk fitnah dan hasutan yang dilemparkan kepada UMNO/BN oleh parti-parti pembangkang,” ujarnya.

Kata Juslie lagi, pemimpin-pemimpin pembangkang seperti PKR, PAS dan STAR mulai beransur-ansur masuk kampung keluar kampung untuk menemui rakyat sambil menyebar pelbagai propaganda; termasuk memaki hamun dan memfitnah pemimpin UMNO dan Kerajaan BN semata-mata melariskan 'politik kosong mereka'.

"Dalam keadaan sekarang, siapa lagi yang mahu sokong PKR kerana cakap sahaja besar. Janji sana, janji sini untuk merobah sistem pentadbiran negara dan merampas Kerajaan Negeri Sabah daripada BN; tetapi nampaknya mereka masih bermimpi di siang hari," ujar Juslie yang mengingatkan agar Pemuda UMNO tidak mudah lupa diri atau menyertai pembangkang setelah berada di dalam kepuk emas BN.


 


Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee; tokoh yang memang tidak asing lagi di kalangan para pemimpin UMNO Pusat kerana merupakan seorang pemimpin dinamik; telah mengupas sedikit sebanyak mengenai isu-isu semasa antaranya mengenai perkara 20 yang sering dilaung-laungkan oleh pembangkang; sedangkan pada hakikatnya sudahpun terbatal dan tidak boleh diguna pakai lagi di dalam negara yang telah merdeka ini.

Begitu juga kata, Ronald mengenai RCI dan NCR hanya perkara kecil sahaja dan tidak lagi relevan kerana menurut undang-undang selapas 1930 tidak ada lagi tanah NCR; malah orang Semenanjung berhak memiliki tanah-tanah yang ada di Sabah kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Mengenai jawatan-jawatan tinggi di dalam jabatan kerajaan Negeri dan persekutuan yang dipegang oleh orang Semenanjung; tidaklah perlu dipertikaikan kerana mereka juga rakyat Malaysia.

"Kita harus ingat slogan 1Malaysia. Kalau boleh kita galakkan lagi ramai orang Semenanjung berhijrah ke Sabah kerana kita sedar kalau bukan jasa Kerajaan Persekutuan, Sabah tidak membangun seperti sekarang," ujar Ronald lagi.

Konvensyen Pemuda UMNO Bahagian Libaran yang diadakan di Dewan Masyarakat Bandar Jaya Batu 8 Jalan Labuk telah dihadiri lebih 600 orang yang datangnya daripada ahli-ahli komponen BN iaitu PBS, UPKO, LDP, MIC, MCA dan PBRS.

No comments:

Post a Comment