Oleh : ANWAR PATHO ROHMAN
PERBALAHAN dan percanggahan
pendapat dalam pakatan pembangkang khususnya membabitkan persetujuan bersama
Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS dalam isu hudud terus hangat
diperkatakan. Perang mulut antara pemimpin PAS dan DAP berkaitan isu hudud
jelas menggambarkan ketiga-tiga parti itu sebenarnya dilanda konflik dalaman.
Tidak cukup dengan itu, DAP
turut menerima tamparan hebat apabila Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz
Tunku Ibrahim mengambil keputusan keluar parti kerana menganggap dirinya 'sudah
tidak selari' dengan pendirian parti itu terutama berkaitan isu demonstrasi
jalanan Bersih 3.0 di ibu negara, 28 April lalu.
Rentetan beberapa isu yang
melanda pakatan pembangkang memberi petunjuk pembangkang kini tersepit dalam
pelbagai masalah parti yang tidak mampu diselesaikan kerana tiada kesepakatan
antara mereka.
Walaupun begitu, isu yang
memporak perandakan pakatan pembangkang ini cuba disembunyikan. Sebaliknya
sikap biadap beberapa individu rakyat Malaysia yang terjerit-jerit perkataan
Bersih ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis
“Sepetang Bersama Perdana Menteri” di London pada 15 Mei lalu dibesar-besarkan
media sosial terutama portal berita dan blog pro pembangkang.
Media propembangkang
menyifatkan tindakan beberapa individu biadap yang menghadiri majlis berkenaan
sebagai berani dan luar biasa walaupun hakikatnya perbuatan mereka tidak
beradab dan tidak sepatutnya dilakukan oleh warga Malaysia, seolah-olah tidak
pernah diajar untuk menghormati pemimpin negara, apatah lagi beliau adalah
Perdana Menteri yang selayaknya kita sanjungi.
Hakikatnya, perbuatan biadap
dan tidak menghormati Perdana Menteri itu sama seperti menghina Perlembagaan,
Yang di-Pertuan Agong, Parlimen serta rakyat majoriti yang menerima Najib
sebagai Perdana Menteri.
Namun begitu, ada juga
Facebook (fb) yang mengutuk, membantah dan mengkritik tindakan biadap individu
berkenaan.
Melihat kepada sikap biadap
mereka, apa yang disifatkan sendiri oleh Perdana Menteri sebagai tidak
bertamadun, memang tidak syak lagi mereka ini adalah pengikut Bersih dan
propembangkang.
Dalam ilmu psikologi, jiwa
dan diri penyokong pembangkang ini mempunyai sikap suka menentang
(anti-establishment), suka menimbulkan kekecohan, tidak menghormati hak orang
lain, tidak bersyukur dan psikologi mereka cenderung kepada tindakan di luar
norma manusia biasa yang lazimnya mahukan keamanan, kedamaian serta
keharmonian.
Tanpa mengira apa fahaman
dan anutan agama mereka atau keturunan mereka, golongan ini memiliki sikap sama
iaitu suka melakukan provokasi bagi membangkitkan kemarahan atau mengaib-kan
pihak lain tetapi pada masa sama mahu orang lain mengiktiraf kebiadapan mereka.
Justeru, dalam insiden di
London itu, Timbalan Menteri Luar, S. Kohilan Pillay menyifatkan ia sebagai
perbuatan tidak wajar dan bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia yang
lazimnya amat menghormati orang lain, apatah lagi pemimpin tertinggi negara.
Baginya, rakyat Malaysia
termasuk yang berada di luar negara perlu berfikiran terbuka dan matang, tidak
terpengaruh dengan emosi dengan menghormati pemimpin negara yang mahu bertemu
dengan mereka.
“Tidak perlu timbulkan
kekecohan apabila pemimpin nombor satu negara sedang berucap. Perbuatan
menjerit-jerit ketika Perdana Menteri sedang berucap memang tidak wajar. Jangan
terikut-ikut dengan politik samseng seperti yang berlaku ketika perhimpunan
Bersih,” katanya.
Beliau turut melahirkan
perasaan hairan dengan sikap pelajar berkelakuan biadap itu yang dianggap
sebagai tidak tahu menjaga imej dan maruah pemimpin negara di depan rakyat
asing.
Katanya, perbuatan itu hanya
memalukan negara kerana ia menggambarkan seolah-olah tiada saluran bagi pelajar
untuk menyuarakan pandangan, pendapat dan pendirian mereka kepada kerajaan.
“Kalau tidak ada saluran
perhubungan, kita faham mereka mungkin bertindak sedemikian, tetapi kerajaan
sentiasa bersikap terbuka.
“Setiap kali pemimpin kita
pergi ke luar negara, akan ada sesi penerangan dan dialog bersama rakyat kita
termasuk pelajar bagi menyatakan pandangan, buah fikiran dan cadangan dalam
sesuatu isu. Di situ pelajar boleh bersuara secara tertib, bukan dengan
menjerit-jerit pada majlis rasmi,” katanya.
Sebagai rakyat Malaysia,
kita bangga dengan sikap kepemimpinan ditunjukkan Perdana Menteri berdepan
insiden itu dengan tenang walaupun perbuatan segelintir individu itu mungkin
menjejaskan maruah diri dan negara. Beliau tidak menunjukkan reaksi marah
dengan sikap biadap mereka, sebaliknya dengan nada bersahaja menasihati mereka
supaya tidak membuat kacau pada majlis yang dihadiri ramai hadirin dan bertemu
beliau selepas majlis jika ada sesuatu yang hendak diperkatakan.
Antara lain Perdana Menteri
berkata: “Anda boleh menyampaikan pandangan anda. Anda mahu bercakap mengenai
pengundi... saya akan beramah mesra dengan orang ramai selepas ini. Bercakaplah
dengan saya dalam cara bertamadun.
“Jangan mengganggu ketika
orang ramai kerana ia bertentangan adab orang Malaysia, malah sangat biadap.
Kita tidak mengajar nilai-nilai sebegini di Malaysia.”
Mungkin pemimpin dan
penyokong Bersih perlu belajar sesuatu daripada teguran Perdana Menteri itu dan
jangan pamer sikap yang memalukan itu di khalayak ramai, apatah lagi di luar
negara. (Berita Harian)
inilah sikap yang tidak bertamadun, tidak menghormati pemimpin.
ReplyDeleteIngatkan merantau jauh-jauh akan jadi lebih bertamadun.
ReplyDeleteBanggalah jadi penyokong BERSIH ini. Sungguh tidak ada etika langsung.
ReplyDeleteBangga la kunun, menghasut untuk merusuh saja.
DeleteRakyat M'sia yang berada di luar negara belum tentu lagi berfikiran rasional.
ReplyDeletenasib baik la Anwar tidak ada di majlis tu.. kalau dia ada, tentu dia akan bagi signal untuk rempuh naik pentas..
ReplyDeletedua tiga orang yang melaung2kan Bersih tu kunun mahu jadi hero, tapi tidak menjadi.. tidak ada seorang pun hadirin yang terpengaruh mahu ikut rentak mereka.. kesian!
ReplyDelete