Tuesday 29 May 2012

DAFTAR PEMILIH SUKU PERTAMA 2012 KOTOR




TENOM : Daftar pengundi suku pertama 2012 didapati mengandungi terlalu banyak nama meragukan, kata Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric Majimbun.

Katanya, banyak nama yang tersenarai dalam daftar pengundi itu tidak mempunyai nama ibu bapa sehingga menimbulkan keraguan bahawa mereka itu adalah orang asing yang diberi kerakyatan melalui pintu belakang.

“Terdapat nama tanpa Bin atau Binti (yang menunjukkan jantina seseorang itu sama ada lelaki atau perempuan).

“Apa yang menghairankan ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi mereka ini kerakyatan sekaligus melayakkan mereka mendaftar sebagai pengundi seperti yang tersenarai dalam daftar pengundi suku pertama tahun 2012,” katanya berucap pada perayaan Pesta Menuai SAPP 2012 peringkat negeri Sabah di Kampung Pulong, di sini.

Turut hadir, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Penasihat SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor, Pengerusi Penganjur majlis merangkap Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah dan Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan.

Hadir sama, Ketua Wanita merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Naib Presiden Jaafar Ismail, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Stephan Gaimin, Roger Stimin (AMT) dan Ketua Penerangan Chong Pit Fah.

Eric selaku Ahli Parlimen Sepanggar berkata, orang asing bukan sahaja menjadi pengundi tetapi turut merampas peluang rakyat tempatan dalam bidang ekonomi terutamanya sektor peruncitan dan sektor perkhidmatan penyediaan makanan.

Katanya, ramai orang asing yang mendapat kerakyatan itu didapati menjalankan perniagaan seperti membuka kedai runcit dan restoran samada di kawasan bandar mahupun jauh di kawasan pedalaman.

“Pengundi tanpa nama ibu bapa tapi JPN benarkan didaftar sebagai rakyat seterusnya sebagai pengundi seperti dalam senarai daftar pengundi suku pertama tahun 2012.

“Kita harus tentang perkara ini. Semakin hari hak rakyat semakin terhakis. Rakyat mesti bertindak dan tukar kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, masalah utama yang sedang dihadapi rakyat negeri Sabah pada masa ini ialah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Mereka adalah ibu segala masalah. Pada masa ini kita dengar Jabatan Hutan menghalau rakyat tempatan serta merampas tanah mereka, tetapi apa yang menakutkan ialah satu hari nanti PATI ini akan menghalau rakyat Sabah keluar dari negeri ini.

“Jika masalah kebanjiran pendatang asing ini tidak diatasi maka perkara sedemikian akan berlaku di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini PATI terdapat di mana-mana sahaja di negeri ini termasuk di kawasan pedalaman bebas menjalankan aktiviti mereka termasuk berniaga.

Beliau berkata, masalah itu boleh diselesaikan jika rakyat Sabah bersatu mengenepikan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali ke-13 akan datang dan memilih SAPP mengambilalih pemerintahan kerajaan negeri.

Katanya, peluang untuk menukar kerajaan BN kepada SAPP hanya datang sekali dan masanya ialah pada pilihanraya umum kali ke-13 nanti.

Terdahulu, Jimmy dalam ucapannya berkata, ramai rakyat tempatan yang tinggal di kawasan pedalaman kini hidup dalam keadaan gelisah kerana khuatir Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan robohkan rumah serta merampas tanah mereka.

Katanya, banyak kes rampasan tanah berlaku di seluruh negeri Sabah dan semuanya terjadi dalam masa pemerintahan Kerajaan BN Sabah pada hari ini.

Beliau berkata, SAPP apabila memenangi pilihanraya kali ke-13 akan datang dan seterusnya membentuk Kerajaan negeri Sabah yang baru berjanji akan mengembalikan semula tanah yang telah dirampas itu.

Jimmy berkata, geran pemilikan tanah akan diberi manakala rakyat tempatan yang tidak memiliki tanah akan diberi tanah melalui Pelan Reformasi Tanah SAPP.

Katanya, beribu-ribu rakyat tempatan telah diberi tanah ketika Yong menjadi Ketua Menteri Sabah dari 1996 hingga 1998 dan perkara itu akan dihidupkan kembali apabila SAPP mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri Sabah nanti.

12 comments:

  1. Tiada Bin atau Binti tu tidak hairanlah kalau di Sabah dan Sarawak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. lain lah jika hanya ada satu nama saja tanpa ada nama bapa atau surname.

      Delete
    2. ada bin atau binti bukan isu di Sabah dan sarawak, ia adalah perkara biasa.

      Delete
    3. apapun, senarai daftar pemilih kena jg dipastikan bersih.

      Delete
  2. Jimmy Wong tidak layak untuk berkata2 tentang hak2 orang tempatan kerana latar belakang/ sijil anak negeri Sabah beliau sendiri diragui.

    ReplyDelete
  3. Timun Babi pun ada dalan senarai daftar pengundi. Entah orang tu wujud atau tidak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau nama2 ganjil macam ni memang perlu disiasat la.

      Delete
  4. Suruhanjaya pilihanraya sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi ini.

    Yang terbaru Cadangan SPRM masuk campur bagi calon PRU adalah satu cadangan yang baik.

    ReplyDelete
  5. Buatlah secara adil dan bersih.

    ReplyDelete
  6. Bukan Sabah ada atau tiada bin/binti bukan la isu.

    ReplyDelete
  7. “Terdapat nama tanpa Bin atau Binti.."

    SAPP tidak tahu ka atau buat2 tidak tahu? nama saya juga tidak mempunyai Bin.. adakah saya orang asing? adakah saya tidak layak mengundi?

    Borneo Paradise (Blog)
    Borneo Paradise (Facebook)

    ReplyDelete
  8. semakin dekat pilihanraya, semakin banyak pula isu karut dibawa oleh pemimpin2 politik.. baik SAPP cari saja semua pengundi meragukan itu dan bawa ke JPN atau pejabat SPR dan panggil sekali wartawan untuk buat liputan.. baru la nampak bukti dan kesungguhan SAPP..

    Borneo Paradise (Blog)
    Borneo Paradise (Facebook)

    ReplyDelete