Tuesday 8 May 2012

RM60 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN ELEKTRIK


  

JANAKUASA.....CHIN (kanan) bersama Tan (kiri) ketika melawat stesen janakuasa Gantisan di sini, kelmarin.

Oleh :  NOORASVILLA MUHAMMA.

SANDAKAN: Sebanyak RM49.2 juta diperuntukkan kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk melaksanakan projek memperbaiki dan mempertingkat bekalan elektrik di daerah ini.

Ia meliputi RM43 juta bagi pembangunan infrastruktur penjanaan di Batu Sapi sementara RM6.2 juta untuk infrastruktur sistem pembahagian janakuasa bergerak.

Selain itu, RM12 juta turut diagihkan ke Sandakan untuk kerja pemulihan stesen janakuasa dan pembinaan suis utama 11 kV daripada keseluruhan RM321.9 juta peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Peter Chin Fah Kui berkata, pelaksanaan projek itu adalah antara usaha kerajaan dalam mengukuhkan sistem penjanaan, penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik sekaligus mengurangkan Bacaan Indeks Purata Tempoh Gangguan Elektrik (Saidi) pengguna di negeri ini.

“Projek infrastruktur penjanaan Batu Sapi akan mempunyai 20 megawatt (MW) bekalan elektrik apabila siap November depan. Sementara, set janakuasa bergerak yang dipindahkan dari Pantai Barat ke Sandakan pada Julai ini menyalurkan 8MW bekalan elektrik.

“Peruntukan bagi dua projek tersebut sepatutnya disalurkan tahun depan, bagaimanapun ia dibawa dan dilaksanakan tahun ini untuk memenuhi permintaan pengguna di daerah ini yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah hotel di sini selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke beberapa stesen janakuasa di Sandakan, kelmarin.

Untuk rekod, permintaan bekalan elektrik pada beban puncak di Sandakan ketika ini adalah sebanyak 106.6MW dan dijangka meningkat kepada 120MW sehari pada 2015.

Manakala kapasiti penjanaan di daerah ini adalah sebanyak 197.5MW, bagaimanapun hanya 100.7MW kapasiti penjanaan yang boleh diharap.

Dalam pada itu, Chin turut memberitahu penelitian secara terperinci akan dilakukan oleh beberapa pihak berkaitan untuk memastikan insiden bekalan elektrik terputus di negeri ini pada 30 April lepas tidak berulang semula.

Beliau yang kesal dengan insiden itu berkata, antara langkah itu termasuk mempercepat pemulihan stesen janakuasa Batu Sapi dan pemindahan mobile generator set dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

“Kita akan berbincang mengenai haluan untuk masa depan bagi sistem janakuasa di Sabah. Ia tidak bermaksud kita tidak mempunyai sebarang pelan sokongan sebelum ini.

“Tetapi kali ini, kita akan memberi penelitian terhadap semua pelan yang ada untuk melihat mana yang perlu kita tambahbaik terutama di bahagian pengagihan,” katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Haji Abd Razak Sallim, Ketua Pegawai Operasi Tenaga Nasional Berhad, Dato’ Azman Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura, Au Kam Wah. (UB)

8 comments:

  1. Semoga RM49.2 juta yang diperuntukan ini untuk mempertingkatkan bekalan elektrik di Sabah akan digunakan dengan sebaik mungkin.

    ReplyDelete
  2. Semoga selepas usaha menaik taraf sistem pembahagian janakuasa bergerak ini akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik.

    ReplyDelete
  3. moga dgn ini masalah elektrik yang sering berlaku dpt diatasi.

    ReplyDelete
  4. Pembangunan elektrik ini untuk memastikan masalah bekalan elektrik yang berlaku dapat diatasi. Semoga peruntukkan itu akan digunakan sebaiknya.

    ReplyDelete
  5. saya haram rm60 juta ini mampu menyelesaikan masalah elektrik di negeri ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, harap2 la tu peruntukan boleh selesaikan masalah elektrik di Sabah, harap2 juga seluruh Sabah dapat menikmati bekalan elektrik.

      Delete
  6. memandangkan bekalan elektrik di negeri ini masih belum ditahap yang stabil, saya rasa lebih baik kerajaan menurunkan terif elektrik khas untuk negeri ini.. hanya setelah bekalan elektrik benar2 stabil, barulah tarif elektrik sabah diselaraskan dengan tarif di negeri2 lain..

    ReplyDelete
  7. Mereka yang menerajui projek tu harus memastikan semuanya bergerak seperti yang dirancangkan.

    ReplyDelete