Sunday, 26 June 2011

‘BERSIH’, DOMBA YANG SESAT!



Oleh : MUTALIB M.D

TINDAKAN mengheret Parlimen ke jalanraya ketika pembangkang mempunyai kerusi yang mencukupi untuk berfungsi secara sah di Dewan Rakyat, merupakan tindakan subversif dan menyalahguna Perlembagaan Persekutuan untuk kepentingan peribadi, boleh ditakrifkan sebagai menderhaka kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong.

Demikian pandangan sinis Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi ketika diminta mengulas tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang sekali lagi menganjurkan perhimpunan raksasa untuk mengumpul lebih 100,000 rakyat Malaysia bagi program ‘Walk For Democracy’ pada jam 2 petang, 9 Julai 2011 di Sogo, Bangunan DBKL dan Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Mereka yang menganjurkan perhimpunan Bersih, kata Raime, umpama ‘domba (biri-biri) yang sesat’ dan menyalahkan tuannya kerana bimbang dibaham serigala.

“Jalanraya dibina untuk kenderaan dan bukannya tempat yang sesuai untuk menuntut sebarang pembaharuan di sebuah negara beraja yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan,” ujar Raime yang kesal kerana 8 tuntutan bersih tidak berasas, meremehkan dan menyalahguna proses undang-undang ketika pemimpin pembangkang berpeluang melakukannya di Dewan Rakyat; ketika kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Tegas Raime, semua ini hanya helah politik pembangkang apabila mereka gagal menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat, mereka berarak di jalan raya; sedangkan ketika mereka berada di Parlimen hanya menimbulkan kekacauan di dalam dewan dengan pelbagai aksi yang memalukan.

“Banyak undang-undang kita diluluskan dengan kelebihan sedikit undi sahaja. Jika mereka semua berada dan menggunakan hak mereka di dalam Dewan, banyak rang undang-undang tidak dapat diluluskan. Sebaliknya, setelah sesuatu rang undang-undang itu diluluskan, mereka mengheretnya ke jalanraya,” kata Raime yang meragui kredibiliti Ahli Parlimen Pembangkang yang tidak berkualiti sedangkan tugas mereka hanya membangkang dan bukannya merangka dan melaksanakan dasar.

Menurut Raime, tindakan mengheret Raja-Raja Melayu ke jalan raya adalah perbuatan terkutuk dan tidak bermaruah bagi sebuah negara beraja yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan; seolah-olah kerajaan tidak memberi peluang kepada mereka menggubal undang-undang di Parlimen.

“Kenapa mereka mahu menghantar Memorandum Kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong dan mendesak baginda mencampuri urusan politik negara. Senario ini sekaligus meremehkan peranan Raja-Raya Melayu mentadbir negara melalui Parlimen,” kata Raime yang membidas Ahli Parlimen Malaysia yang gagal berfungsi di Parlimen dan memilih jalan raya sebagai medan untuk berbahas berhubung kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

Tegas Raime, lapan tuntutan itu ialah bersihkan senarai undi; reformasikan undi pos; gunakan dakwat kekal; akses media yang bebas dan adil; tempoh berkempen minimum 21 hari; perkukuh institusi awam; hentikan rasuah dan hentikan politik kotor boleh diselesaikan melalui pentadbiran dan bukannya mengoyak Perlembagaan Persekutuan dengan mengheret isu pentadbiran ke jalan raya.

Menurut Raime, tuntutan agar membersihkan senarai undi adalah helah politik pembangkang kerana mereka berhak membuat bantahan ketika senarai pemilih dipamerkan untuk bantahan dan bukannya setelah senarai berkenaan diwartakan.

Sama ada senarai tersebut dikotori oleh senarai orang mati atau pengundi hantu bukan menjamin kemenangan kerajaan; kerana setiap pemilih wajib menunjukkan kad pengenalan sebelum diberi kertas undi dan senarai pemilih yang telah diwartakan hanyalah sebagai panduan kerana lazimnya, tidak sampai 85 peratus yang turun membuang undi.

“Kenapa Bersih mendesak mengadakan reformasi undi pos sedangkan pengundian dibuat secara telus di hadapan wakil calon yang bertanding dan bukannya dibuat di tempat rahsia. Buktinya di banyak kawasan, pembangkang memperolehi undi pos yang banyak dan mengatasi calon BN, sedangkan sewajarnya polis dan tentera patut menyokong kerajaan,” kata Raime yang mengakui undi pos dibuat secara telus dan masih diperlukan sekalipun Malaysia dalam keadaan aman damai.

Mengenai penggunaan dakwat kekal, kata Raime sewajarnya tidak langsung dilayan kerana Bersih seolah-olah mengajak rakyat kembali ke zaman kuno ketika murid-murid menggunakan papan batu, sedangkan pengundian boleh dibuat dengan menggunakan Sistem Biometrik.

“Apakah Bersih mahu kita mengikuti cara Timor Leste mengundi sedangkan negara kita berada di era ICT yang boleh menggunakan sistem biometrik iaitu sama ada menggunakan cap jari atau iridologi (mata) yang diterima pakai sebagai identiti yang sah di negara membangun,” ujar Raime yang menjelaskan Sistem Pengundian Biometrik adalah yang terbaik di dunia dan Malaysia mampu melakukannya.

Sistem Biometrik kata Raime hanya disambungkan ke Pangkalan Data Jabatan Pendaftaran Negara yang menyimpan rekod cap jari rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih, tanpa sebarang keraguan.

Raime turut kesal dengan dakwaan songsang pembangkang yang dituntut Bersih iaitu media Malaysia tidak bebas dan disekat sedangkan semua parti politik di Malaysia mempunyai akhbar, website, TV dan segala saluran maklumat tanpa kekangan sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah sesuatu Akta yang digubal di Parlimen.

“Bebas macam mana lagi yang mereka mahu tuntut? Kerajaan tidak pernah mengawal media mereka secara drastik melainkan yang melanggar undang-undang. Kebebasan bersuara di Malaysia tidak pernah terencat kerana semua rakyat bebas menyuarakan pandangan masing-masing, tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa,” tegas Raime yang tidak bersetuju langsung dengan dakwaan liar berkenaan.

Manakala bagi tuntutan tempoh berkempen minimum 21 hari; kata Raime hanya akan menyusahkan rakyat kerana tempoh 14 hari atau satu minggu sudah dikira terlalu lama, apatah lagi pembangkang boleh berkempen sepanjang tahun melainkan tengah malam menjelang hari pilihanraya umum dijalankan.

“Rakyat perlu bekerja dan mengatur kehidupan masing-masing. Tempoh berkempen yang sedia ada sudah begitu membebankan, apatah lagi jika ditambah kepada 21 hari. Sebenarnya mereka bukan mahu berkempen, tetapi mencari helah untuk memperdaya rakyat agar membenci kerajaan dengan alasan mereka tidak berpeluang menemui semua rakyat kerana tempoh kempen yang pendek,” ujar Raime yang mencadangkan satu minggu adalah tempoh yang sesuai dan munasabah.

Mengenai tuntutan Pengukuhan Institusi Awam, kata Raime, semua Institusi awam di Malaysia sudah begitu kukuh dan tidak perlu diragui fungsinya; apatah lagi disokong oleh professional yang telah berjaya meletakkan negara di pentas dunia, termasuk GLC terpenting seperti Petronas dan Felda.

“Oleh kerana pembangkang terlalu mendesak dan mengganggu sistem pentadbiran kerajaan terutama SPRM, maka siasatan tidak lagi professional dan kesannya banyak kes berprofail tinggi yang disiasat SPRM kalah di mahkamah kerana kekurangan bukti yang melampaui keraguan munasabah,” ujar Raime yang menjelaskan bahawa rakyat perlu memberi masa kepada SPRM memperkukuhkan siasah dan tidak mengganggu siasatan dengan membuat pelbagai tohmahan.

Akta SPRM baru sahaja dipinda dan kata Raime, seperti kanak-kanak yang baru dilahirkan memerlukan masa untuk berjalan dan berfungsi; maka rasuah tidak akan dapat dikawal jika rakyat masih mengamalkan rasuah sebagai budaya hidup mereka sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah mereka dan enggan melaporkan sebarang kejadian rasuah atau mendedahkan bukti kepada media sehingga pihak yang bakal didakwa memusnahkan bukti.

Bagaimanapun Raime sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan Bersih yang menuding jari kepada kerajaan agar menghentikan politik kotor kerana pemimpin politik itu sendiri yang mengotorkan dunia politik dengan melakukan perbuatan yang dilarang undang-undang; sekalipun mereka berpeluang untuk membersihkan politik kerana mereka sebahagian daripada warga politik.

Sehubungan itu, kata Raime, sejajar dengan budaya semangat ‘1Malaysia’ yang disudah diamalkan di Sabah sejak sebelum merdeka sehingga kini, menolak budaya politik jalanan termasuk perhimpunan Bersih yang tidak berjaya di Sabah kerana rakyat Sabah menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai ikatan rasmi melestari kejayaan dan kerharmonian.

Tegas Raime lagi, jika kerajaan tidak berlaku adil dalam pilihanraya, mustahil pembangkang memperoleh 82 kerusi Parlimen dan memenangi pilihanraya di lima buah negeri pada Pilihanraya Umum 2008.

“Sudah 13 kali Malaysia mengadakan pilihanraya umum dan PRU-12 membuktikan bahawa pilihanraya kita yang paling bersih di dunia kerana buat pertama kali dalam sejarah pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” kata Raime yang meminta agar penganjur Bersih membatalkan perhimpunan berkenaan yang dianggap sebagai mencemar amalan demokrasi di Malaysia.

Menuntut kebebasan hak asasi secara tidak bermoral, terutama menyalahguna Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan dengan mengganggu sistem pentadbiran kerajaan, kata Raime, adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan, apatah lagi dunia barat akan melihat Malaysia sudah terarah kepada keruntuhan Malaysia sebagai negara Islam seperti yang berlaku di dunia Arab dewasa ini.

“Jika rakyat terikut rentak Bersih, maka pilihanraya sudah tidak bermakna lagi kerana rakyat berfikir boleh menjatuhkan kerajaan yang memerintah di jalan raya sebagaimana yang berlaku di Thailand dan Indonesia. Inikah yang kita inginkan?,” tanya Raime yang bimbang jika mereka yang menyertai perhimpunan Bersih merusuh disebabkan kerajaan tidak mengeluarkan permit; sehingga mengancam keselamatan negara dan memaksa Yang Di Pertuan Agung menggantung Perlembagaan.

Raime menarik perhatian bahawa beliau mendapat maklumat Perhimpunan Bersih ditaja oleh pihak tertentu daripada luar negara dengan tujuan untuk menyemai bibit perpecahan, kononnya untuk melunakkan demokrasi sebelum menumbangkan kerajaan yang memerintah seperti apa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Sudan, Jordan dan kini hampir menumbangkan Libya.

“Saya mencabar Ketua Penganjur Bersih, Ambiga agar menafikan dakwaan ini dan menjelaskan bagaimana pihaknya memperolehi biaya untuk mengadakan perhimpunan haram ini dan apa hubungan beliau dengan negara luar,” cabar Raime lagi.

Tegas Raime, beliau amat terkilan kerana melihat sendiri betapa bersusah payahnya Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menarik pelabur daripada seluruh dunia untuk melabur di Malaysia; tetapi begitu mudah dileburkan melalui Perhimpunan Bersih yang tidak mempunyai sebarang tujuan, melainkan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat melalui pilihanraya umum.

“Jika mereka menggunakan tenaga 100,000 orang yang menyertai perhimpunan Bersih ini untuk melakukan kerja kebajikan pada hari berkenaan, seperti memungut sampah sarap atau mengindahkan Bandar; bukankah lebih bermanfaat? Lagipun 100,000 baju berkenaan boleh didermakan kepada rumah kebajikan dan anak yatim,” kata Raime yang menyarankan agar mereka jangan menyalahgunakan peluang cuti umum hujung minggu yang diberikan kerajaan untuk menyertai perhimpunan haram yang sia-sia.

Raime turut mengutuk tindakan Bersih mencabar kerajaan dengan mengumumkan bahawa perarakan Bersih akan turut diadakan serentak pada 9 Julai nanti di 8 bandaraya lain iaitu Seoul (Korea Selatan), Canberra, Melbourne & Sydney (Australia), Osaka (Jepun) serta Los Angeles, San Francisco dan New York (US).

“Kenapa mahu melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di luar Negara sedangkan mereka berpeluang menunaikan kewajipan mereka di Kedutaan Malaysia setiap kali tiba pilihanraya umum?,” tanya Raime yang menunjukkan Ambiga menarik perhatian dunia untuk kepentingan peribadi dengan menjual kedudukannya sebagai Presiden Majlis Peguam seolah-olah Malaysia mengamalkan pemerintahan Kuku Besi.

Raime menjelaskan bahawa beliau turut kesal dengan sikap Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO yang turut mengikut rentak Bersih sedangkan mereka sedar perhimpunan haram tanpa permit adalah menyalahi undang-undang negara.

11 comments:

  1. Hope that a win-win situation can be achieved.

    ReplyDelete
  2. Sejauh manakah tindakan Bersih ini memberi kesan kepada PRU akan datang..

    ReplyDelete
  3. harap-harap kalau perhimpunan BERSIH sudah diadakan, pilihanraya di negara ini dijalankan secara bersih dan adil. harap pengundi hantu juga tidak akan wujud lagi

    ReplyDelete
  4. perhimpunan ini hnya menggangu ketenteraman awam.

    ReplyDelete
  5. Perlu ka nak buat demonstrasi? Tak boleh runding dengan profesional? Kekecohan tentu akan berlaku.

    ReplyDelete
  6. Saya tak kisah ia berjalan atau tak, yang penting keselesaan dan keselamatan orang awak kekal terjamin, then OK la:)

    ReplyDelete
  7. Tapi jika perhimpunan dapat dielakkan, ada baiknya juga hal ni tak diteruskan. hehe

    ReplyDelete
  8. Biarkan saja mereka ini. Tidak payah dipedulikan. Yang penting jangan buat kekacauan sudahlah.

    ReplyDelete
  9. harap penyelesaian terbaik dapat dicari. perhimpunan hanya akan menjejaskan imej sendiri.

    ReplyDelete
  10. penjelasan yang dibuat oleh Datuk Raime sepatutnya cukup untuk menjawab persoalan penganjur Bersih dan juga rakyat. atau mungkin cukup untuk memberikan gambaran bahawa penganjuran Bersih mempunyai matlamat lain untuk kepentingan pemimpin2 politik pembangkang.

    ReplyDelete
  11. adakah bagi pakatan SPR itu adil jika semua kerusi di Malaysia dimenangi oleh Pakatan? macam la Pakatan hebat sangat hinggakan tidak sanggup mengakui bahawa parti mereka ditolak rakyat. saya yakin sekiranya perhimpunan ini terus berjalan, kesannya pasti amat besar kepada negara.

    ReplyDelete