SIDANG MEDIA…Lajim semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
BERSEMPENA dengan Majlis Makan Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah yang diadakan di Grand Ballroom Magelan Sutera pada 8 Julai depan, yayasan tersebut akan turut melancarkan sebuah buku yang bertajuk ‘Mencari Sinar Harapan’ tulisan seorang tokoh penulis yang sudah tidak asing di Sabah, Jasni Matlani.
Buku setebal 200 muka surat ini menceritakan kesan dan pencegahan sakit buah pinggang, amalan perubatan yang sesuai di samping turut menceritakan pengalaman para pesakit buah pinggan termasuk pengalaman yang pernah dilalui oleh Presiden (YBPS) Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.
Menurut Lajim, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pelancaran buku tersebut dijangka akan dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman yang juga menjadi tetamu utama majlis makan Makan Amal tersebut dan para penderama juga akan turut dihiburkan oleh artis jemputan dari Semenanjung Jamal Abdillah, Pelawak Mr. Os dan juga pelawak tempatan, Abu Bakar Ellah (Ampal).
Dalam pada itu, beliau mensasarkan kutipan RM1 juta menerusi jualan meja dan derma sempena Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah tersebut.
"Jika dapat mencapai sasaran ini, kita menjangka akan mendapat RM300,000 hingga RM400,000 kutipan bersih yang dapat disalurkan ke tabung Yayasan Buah Pinggang Sabah,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelaksana majlis tersebut di Kota Kinabalu petang kelmarin.
BERSEDIA…Lajim (tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur majlis makan Malam Amal YBPS
Tambah Lajim, hasil kutipan ini akan digunakan untuk menjalankan berapa siri ceramah, kempen pencegahan pesakit buah pinggang di samping membantu membeli mesin hemodialisis yang disumbangkan kepada beberapa buah hospital yang memerlukan di negeri ini.
"Jadi, saya merayu kepada para penderma daripada sektor korporat, swasta dan orang perseorangan supaya sama-sama membantu dan menjayakan projek amal ini," ujarnya.
Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, jumlah pesakit buah pinggang di negeri ini berada di tahap membimbangkan dengan 15 pesakit baru direkodkan setiap bulan.
Katanya, peningkatan jumlah berkenaan turut menyebabkan mesin hemodialisis sedia ada tidak dapat menampung keperluan pesakit.
“Melalui majlis seperti ini kita berharap akan mendapat sokongan dari para penderma daripada sektor korporat, swasta dan orang perseorangan supaya sama-sama membantu dan menjayakan projek amal ini," ujarnya
No comments:
Post a Comment