Thursday, 23 June 2011

AMNESTY PATI BERMULA 11 JULAI



KERAJAAN akan melaksanakan proses pendaftaran besar-besaran bermula 11 Julai ini bagi merekodkan jumlah pekerja asing dan pendatang tanpa izin yang berada di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses yang termasuk dalam program penyelesaian menyeluruh pendatang asing tanpa izin atau Program 6P itu, akan dilaksana melalui gerakan pendaftaran merangkumi pengambilan biometrik semua pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Program itu bertujuan mengumpul data mengenai pendatang asing tanpa izin di negara ini seperti di mana mereka bekerja, dengan siapa dan berapa gaji yang diterima serta beberapa maklumat lain yang diharap dapat membantu ke arah mengatasi isu sosial dan jenayah yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu.

"Kita mahu supaya selepas eksesais ini berjalan, kerajaan dapat memperkemaskan rekod berkenaan pekerja-pekerja asing dalam negara dan sekaligus dapat mengurangkan pekerja asing di negara ini," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin.

Program 6P meliputi enam pelan tindakan melibatkan pendatang asing tanpa izin iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan pengusiran.

Timbalan Perdana Menteri berkata program pendaftaran itu terbuka kepada semua pendatang asing di negara ini termasuk mereka yang masuk secara haram menggunakan pas lawatan sosial.

"Mereka yang berbuat demikian tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kerajaan akan melantik syarikat-syarikat yang berpengalaman dalam menguruskan soal pendaftaran antaranya bagi menemui majikan dan mendaftarkan pekerja-pekerja asing di bawah syarikat terbabit.

"Untuk itu kita minta majikan terlibat secara aktif (membawa keluar dan mendaftarkan pekerja) kerana di bawah program pengampunan ini tidak ada tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.

"Kerajaan juga ingin memohon kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri menerusi jawatankuasa-jawatankuasa keselamatan yang ada di seluruh negara serta jawatankuasa keselamatan kampung untuk membantu dalam soal ini kerana mereka lebih tahu di mana pekerja-pekerja tanpa izin itu berada," katanya.

Muhyiddin berkata proses pendaftaran itu juga bertujuan mengenal pasti keperluan guna tenaga industri dan sektor tertentu di negara ini, dan untuk itu, kerajaan telah mengarahkan semua kementerian yang mengetuai sektor perladangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan serta sub sektor di bawahnya, mengumpul fakta berhubung jumlah guna tenaga yang diperlukan supaya keperluan itu dapat dipenuhi setelah sesi pendaftaran selesai.

Bagaimanapun, katanya, semua keperluan guna tenaga dan jawatan kosong yang terdapat di semua sektor di bawah mana-mana kementerian itu akan diiklankan untuk dipenuhi oleh warga negara Malaysia terlebih dahulu dan akan hanya ditawarkan kepada pendatang asing sekiranya masih terdapat kekosongan.

"Itu eksesais yang perlu kerajaan lakukan untuk maklumkan kepada rakyat bahawa ada peluang pekerjaan dan mereka patut diberikan peluang utama, selepas itu barulah syarikat berkaitan boleh membuka peluang kepada pekerja asing," katanya.

Muhyiddin berkata semua eksesais dalam Program 6P itu akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diberikan untuk program itu dan sama ada ia merupakan amaran terakhir kepada pendatang asing tanpa izin, beliau berkata, tempoh itu mungkin dilanjutkan berdasarkan sambutan.

"Kita tak nak kata ini (amaran)...kerajaan bagi mereka peluang untuk mendaftar tetapi jika ingkar seperti biasa akta di bawah peraturan imigresen akan dikuatkuasakan selepas itu," katanya. (BERNAMA)

11 comments:

  1. Saya masih tidak faham kenapa PATI-PATI ini mesti didaftarkan? PATI tetap PATI.

    ReplyDelete
  2. harap jumlah PATI akan dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan PATI.

    ReplyDelete
  3. PATI2 yang suka membuat masalah dan jenayah ini patut diusir terus.

    ReplyDelete
  4. janganlah terlalu bertolak ansur dengan PATI ni.lama kelamaan mereka pasti 'pijak kepala' kita.

    ReplyDelete
  5. Tidak dinafikan ada juga PATI yang datang ke sini dengan niat untuk bekerja saja dan tidak timbulkan masalah. Tetapi golongan PATI yang suka buat masalah yang bikin 'high blood'.

    ReplyDelete
  6. harap masalah PATI dpt selesai dgn cara ini.

    ReplyDelete
  7. bermakna Program 6P ini akan dilaksanakan secara berperingkat2 sehinggalah ke peringkat yang terakhir iaitu pengusiran?? jika begitu bagi saya ada logiknya program ini diteruskan..

    ReplyDelete
  8. Nampaknya kerajaan mempunyai perancangan tersendiri untuk menangani masalah PATI yang terdapat di negera kita ini.

    ReplyDelete
  9. Pengampunan PATI yang mungkin boleh dimasukkan dalam database biometrik sebagai pemilih PRU 13??

    ReplyDelete
  10. I don't know what will happen after this.

    ReplyDelete