Saturday, 25 June 2011

SURAT TERBUKA BANTAH MESEJ KG MINIKODONG



Saudara Pengarang,

SURAT bertarikh 24 Jun 2011, rujukan (001) BBGKIDKK-06/2011 daripada Badan Bertindak Membantah Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kg Minikodong, Kg Indarason Darat dan Kg Komburango ini ditujukan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah Kudat, Sabah.

Bahawasanya, kami penduduk Kg. Indarason Darat dan Kg. Komburongo selaku pemilik-pemilik tanah yang terlibat dengan projek Mini Estet (MESEJ) Kg. Minikodong dengan ini memberi ingatan kepada pihak tuan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya projek ini.

Dengan ini juga, kami meminta pihak tuan untuk membatalkan projek Mini Estat MESEJ Kg. Minikodong ini serta-merta dan mengembalikan tanah-tanah tersebut kepada pemilik asalnya.

Kami telahpun mengambil keputusan muktamad untuk menarik balik tanah-tanah kami daripada terlibat dengan projek Mini Estet (MESEJ) Kg.Minikodong ini atas sebab-sebab berikut:-

i) Kami telahpun ada perancangan sendiri untuk memajukan tanah kami iaitu menanam dengan tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan lain-lain.

ii) Sebahagian daripada tanah-tanah tersebut telahpun bertanaman seperti tanaman kelapa, getah, kelapa sawit, pisang dan lain-lain yang bernilai komersial dan dapat menjamin kehidupan harian kami. (Rujuk gambar-gambar tanaman yang masih ada dan yang telah dimusnahkan oleh LIGS)

iii) Tanah-tanah yg terlibat telahpun dipohon sejak tahun 2003 dan kami telah mula mengusahakannya dan telah mendiaminya sejak nenek moyang kami lagi dimana perkuburan nenek moyang kami juga terletak di kawasan ini.

iv) Kawasan yang terlibat ini juga merupakan kawasan tadahan air di mana dari kawasan inilah kami mendapatkan sumber bekalan air untuk kegunaan harian kami apabila kerajaan gagal menyediakan bekalan air paip bersih untuk penduduk kampung ini.

v) Kami mampu menguruskan tanah-tanah kami ini menurut cara adat istiadat kami tanpa memerlukan campurtangan kerajaan atau agensi-agensinya.

vi) Kami tahu kami berhak memiliki tanah-tanah tersebut menurut hak asasi Orang Asal seperti yang terkandung dalam peraturan Hak Tanah Adat (NCR)

vii) Generasi muda telah ramai yang berpengetahuan luas dalam bidang pengurusan dan pembangunan tanah termasuk dalam bidang perladangan komersial dan kami percaya kami boleh membangunkan tanah-tanah tersebut dengan kebolehan kami sendiri.

viii) Justifikasi kerajaan yang mengatakan bahawa tanah-tanah ini perlu dibangunkan untuk membasi kemiskinan dengan penyediaan kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan sebagainya, tidak masuk akal kerana sekolah dan klinik yang berhampiran kampong ini masih boleh menampung keperluan penduduk. (Sekolah terdekat ialah SK. Panudahan dan SK Indarason Laut, Klinik terdekat ialah KK Indarason Laut dan Dispensari Tinangol)

ix) Kami yakin projek ini tidak akan mencapai objektifnya iaitu membasmi kemiskinan kerana tindakan kerajaan dan agensinya merampas tanah-tanah ini dengan sendirinya menjadikan penduduk kampong ini akan menjadi lebih miskin lagi apabila mereka kehilangan Tanah Pusaka mereka.

x) Projek ini akan mengakibatkan pemilik-pemilik tanah akan kehilangan hak milik ke atas tanah-tanah ini buat selama-lamanya apabila status mereka hanyalah sebagai pekerja atau peserta apabila projek ini terlaksana.

xi) Projek ini adalah projek gila dan bodoh kerana memusnahkan tanaman dan rumah yang sedia ada dan menggantikan dengan perkara yang sama atas tujuan yang sama yang telahpun dicapai oleh penduduk kampung ini iaitu meningkatkan taraf hidup.

xii) Telah ada ‘Precedent Case’ di mana projek yang sama iaitu MESEJ di Kg. Barambangon telahpun dibatalkan, jadi tidak ada sebab dan cara yang boleh dihalalkan untuk tidak membatalkan projek MESEJ Kg. Minikodong.

Bantahan ini bukan merupakan bantahan kali pertama tetapi ini adalah bantahan kesekian kali dan sentiasa berjalan tanpa henti. Ini menunjukkan para penduduk kampong yang juga merupakan pemilik-pemilik tanah amat serius kerana tidak sanggup kehilangan tanah peninggalan nenek moyang mereka.

Selain daripada bantahan penduduk kampung, ADUN bagi N.4 Matunggong pada ketika itu iaitu YB Puan Jornah Mozihim turut terlibat dalam bantahan melalui surat kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, cuma tahap kesungguhannya diragui kerana seakan hanya seperti melepas batuk di tangga.

Kami tahu ramai pemimpin yang ‘double standard’, di depan penduduk kampung kelihatan seperti bersungguh-sungguh membantu, tetapi bertukar watak menjadi tukang angguk apabila berhadapan dengan orang atasannya.

Sebagai bukti para pemilik tanah serius mengurus dan memajukan tanah-tanah mereka, mereka telah mengemukakan surat permohonan untuk penyukatan tanah pada tahun 2006 tetapi tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah Dan Ukur Kudat, sehinggalah tanah-tanah tersebut diceroboh masuk oleh LIGS.

Inisiatif penduduk kampong untuk memajukan tanah mereka melalui pelbagai cara telahpun dilakukan. Buktinya, pada Mei 2006, mereka telah menghantar surat permohonan penanaman getah secara berkelompok. Ini bermakna, mereka ingin maju, jauh sekali dari menolak pembanguan yang ditawarkan oleh Kerajaan.

Ini cuma berkaitan dengan tujuan dan cara, jika tujuannya baik dan caranya juga baik, maka ia adalah amalan yang baik. Jika tujuannya baik tetapi caranya caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil dengan cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan bersedekah. Tujuan Kerajaan sangat baik, tetapi caranya salah kerana penduduk kampong memilih system berkelompok yang bukan saja akan menjamin hak mereka ke atas tanah-tanah itu tetapi juga akan menjamin mereka memperolehi pendapatan yang tinggi dan boleh mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

Sebaliknya, mereka menolak sistem estat kerana mereka menyedari di bawah sistem estat ini, mereka bukan sahaja bakal kehilangan tanah-tanah pusaka ini, tetapi mereka juga sedar pendapatan mereka yang hanya sebagai pekerja tidak mungkin menjamin pendapatan yang tinggi, sekaligus system estat ini tidak mungkin dapat mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan tegar.

Skim LKTNS Pinawantai adalah contoh terbaik, di mana seorang pekerja yang telah berkerja selama 20 tahun di Estat LKTNS Pinawantai, didapati beliau masih berada di bawah garis kemiskinan tegar.

Tindakan LIGS dan kontraktor dilantik iaitu Berani Wawasan untuk memasuki kawasan tanah-tanah adat orang asal di kawasan ini; Kg. Minikodong, Kg. Indarason, Kg. Komburongo, adalah jelas ia satu pencerobohan dan pencabulan hak penduduk-penduduk kampong ini.

Surat kebenaran memasuki kawasan daripada Jabatan Tanah dan Ukur Kudat kepada kontraktor dilantik LIGS iaitu Berani Wawasan tidak sah dan batal kerana sepatutnya Jabatan Tanah dan Ukur atau mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan Orang Asal yang perlu meminta kebenaran daripada pemilik-pemilik tanah.

Ini selaras dengan undang-undang tanah adat NCR dalam Seksyen 13 yang menerangkan mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasanTanah Adat orang asal dengan tujuan meneroka atau memiliki, perlu member notis selama 30 hari sebelum memasuki kawasan berkenaan.

Penerokaan atau pengambilan tanah hanya boleh dillakukan jika sekirannya tidak ada bantahan daripada penduduk asal selepas 30 hari. Apa yang berlaku dalam kes Mini Estate Kg. Minikodong ialah tiada sebarang notis diberi oleh mana-mana pihak termasuk Jabatan Tanah atau LIGS dan maka dengan itu ia jelas satu pencerobohan dan melanggar undang-undang yang ada di negara ini.

BUKTI..... Kawasan ini telah diteroka sejak zaman berzaman dengan tanaman padi, pisang, nanas dan sebagainya secara silih berganti tetapi PPHT mentafsirkannya sebagai 'tanah kosong'.

Selepas menceroboh Tanah Adat Orang Asal (Rungus) yang terlibat dengan projek haram MESEJ LIGS, kontraktor dilantik iaitu Berani Wawasan, terus mengganas tanpa belas kasihan dengan memusnahkan tanaman-tanaman orang kampung yang selama ini menjadi sumber rezeki untuk meruskan hidup.

Tindakan ini ternyata terlalu zalim dan tidak berperikemasnusiaan bagi kaum asal seperti kami orang Rungus yang mungkin disifatkan oleh pihak tertentu sebagai bukan anak jantan dan kami akan buktikannya.

Kami juga berhak mendapat ganti rugi dan pampasan ke atas kemusnahan tanaman kami yang dilakukan pihak LIGS menerusi pihak yang dilanti Berani Wawasan. Ganti rugi ini wajib dibayar oleh pihak bertanggungjawab iaitu LIGS dan Kerajaan.

Kami penduduk kampung dan selaku pemilik tanah, sudah mula tidak faham dengan tujuan sebenar kerajaan terhadap penduduk asal seperti kami. Sudahlah pelbagai inisiatif kerajaan seperti yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia dengan berslogankan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’, ETP, GTP dan rancangan berterminologi Rancangan Malaysia tidak pernah sampai ke kampong kami, sebaliknya tanah-tanah sekengkang kera yang kami adapun dirampas.

Tindakan Jabatan Tanah dan Ukur Kudat untuk membatalkan permohonan tanah seorang pemilik tanah (Jolais bin Sobien, PT 20-03050033) adalah tindakan zalim dan tidak bertimbang rasa, manghina serta tidak menghormati hak Orang Asal. (Rujuk surat Jabatan Tanah dan Ukur Kudat bil. LSK 600-1/01/05/11(24)/23, bertarikh 07 Sep 2009)

Tindakan ini jelas mencabuli hak Orang Asal seperti yang terkandung dalam Ordinan Tanah Sabah, Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal yang terkandung dalam Artikel 8 Fasal 1&2 (a-e) yang menyebut:

Artikel 8:

1) Orang asal dan individu Orang Asal mempunyai hak untuk tidak dijadikan bahan sasaran kepada asimilasi paksa atau pemusnahan budaya mereka.

2) Sesebuah negara menyediakan mekanisme yang berkesan untuk mencegah dan membetulkan:

a) Sebarang tindakan yang mempunyai tujuan atau akibat untuk merampas integriti Orang Asal sebagai manusia yang berbeza daripada orang lain atau daripada nilai-nilai budaya atau identiti etnik mereka;

b) Sebarang tindakan yang mempunyai tujuan atau akibat untuk merampas tanah, wilayah atau sumber mereka.

c) Sebarang bentuk pemindahan secara paksa yang mempunyai tujuan atau mengakibatkan pencabulan atu menjejaskan mana-mana hak mereka;

d) Sebarang bentuk asimilasi dan integrasi secara paksa;

e) Sebarang bentuk propaganda yang direka bentuk untuk tujuan menghasut diskriminasi perkauman atau diskriminasi etnik yang dihalakan kepada mereka.

Kami penduduk kampong bertambah heran apabila sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan khasnya Parti Bersatu Sabah (PBS) di mana kami menyokong dari tahun 1985 lagi hingga sekarang tidak pernah dihargai.

Malahan sokongan padu dan pengorbanan kami dibayar dengan harga kerugian yang amat besar di pihak kami apabila tanah-tanah kami dirampas.

Berikutan ini timbul satu pertanyaan, apakah ini balasan PBS terhadap kesetiaan kami selama ini? Jika demikian halnya kami tahulah apa yang patut kami lakukan pada PRU13 nanti!

Pemimpin-pemimpin PBS juga tidak pernah tampil membantu, sebaliknya menyembunyikan diri bila penduduk kampong meminta pertolongan untuk mengembalikan Tanah Adat NCR ini. Ada juga pemimpin BN PBS Nampak lebih ‘bijak’ mencari pelbagai alasan, berdolak-dalih dan flip-flop, malah cuba memujuk orang kampong untuk tidak membantah projek ini.

Adakah mereka orang-orang yang pengecut atau orang-orang yang hanya jadi tukang angguk hingga gagal menyampaikan tuntutan masyarakat kepada kepimpinan atasan dan kerajaan? Atau, adakah pemimpin-pemimpin BN PBS ini buta undang-undang hingga terlalu takut menangani isu-isu tuntutan Tanah Adat hingga persepsi mereka beranggapan bahawa menuntut hak-hak Tanah Adat itu adalah salah disisi undang-undang?

Nampak gayanya, parti dan pemimpin pembangkang seperti SAPP dan PKR lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam banyak permasalahan rakyat termasuk Tanah Adat. Kami mula sedari perkara ini apabila kes-kes tuntutan Tanah Adat yang berjaya seperti kes Rumbilin di Kg. Solimpodon Pitas dan kes MESEJ di Kg. Barambangon Kudat.

Orang kuat di sebalik kejayaan ini adalah pemimpin pembangkang PKR, sambil didukung oleh PACOS TRUST. Tidak ada seorangpun yang mampu menolak kebenaran bahawa faktor kejayaan ini adalah hasil pembelaan para pemimpin pembangkang seperti PKR dan kami percaya kami sudah mengambil tindakan dan keputusan yang tepat apabila berpayung di bawah panji parti pembangkang yang nyata jauh lebih bertanggungjawab dan boleh menjamin masa depan kami berbanding berpayung dibawah bendera lusuh BN PBS, inilah masa bagi kami untuk berubah.

BN-PBS tidak harus menyalahkan kami atas keputusan yang kami ambil kerana kami telah mengambil masa yang cukup panjang iaitu sejak tahun 2006 lagi untuk menyelesaikan kes ini. Kami bukan lagi sebodoh yang disangka oleh BN-PBS, kami tidak akan termakan dengan janji-janji palsu yang hanya mengguanakan air liur basi. Pendirian kami teguh untuk bersama dengan pembangkang pada kali ini. Hanya ada satu ‘remedi’ yang boleh memungkinkan pendirian kami untuk kembali kepangkuan BN PBS iaitu mengembalikan Tanah Adat kami serta merta atau selewat-lewatnya sebelum PRU13 menjelang tiba, itupun bukan dengan ‘air liur’ tetapi secara ‘Hitam Putih’.

Alasan-alasan yang digunakan oleh kerajaan untuk tidak mengembalikan tanah adat kepada pemilik asal seperti telah banyak membelanjakan wang atau telah melantik kontraktor tidak boleh digunakan dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ini kerana amalan membayar pampasan kepada kontraktor adalah amalan biasa kerajaan seperti kes pembatalan projek Jambatan Bengkok di Johor di mana kerajaan telah membayar sebanyak RM 250 juta kepada kontraktor, begitu juga dengan kes pembatalan projek Janakuasa Arang Batu di Lahad Datu di mana kerajaan juga terpaksa membayar sebanyak RM 70 juta kepada kontraktor.

Selain daripada dua kes ini kami juga tahu kerajaan telahpun membuat banyak pembayaran pampasan kepada kontraktor pada masa lalu, masa sekarang dan akan datang. Jadi, kerajaan tidak boleh sama sekali menggunakan alasan ini kerana ianya dilihat sebagai tindakan memperbodohkan kami kaum Orang Asal.

PALSU....PPHT membuat dakwaan tanah adat ini sebagai tanah kerajaan tanah sedangkan dipenuhi pelbagai tanaman seperti kelapa, kelapa sawit, betik dan pisang.

Untuk kelangsungan hidup kami kaum Orang Asal Rungus, harapan baru bagi kehidupan yang lebih makmur, sejahtera lagi terjamin, maka kami yakin nasib kami harus disandarkan kepada parti-parti pembangkang seperti SAPP dan Pakatan Rakyat. Ini kerana dalam SAPP objektifnya adalah jelas boleh membela nasip kami seperti yang terkandung dalam:

Fasal 3: Untuk melindungi, meningkat dan menjaga hak dan kepentingan serta aspirasi rakyat Sabah di dalam Persekutuan Malaysia.

Fasal 5: Menggalak dan melindungi hak dan kepentingan anak negeri tempatan serta warganegara lain di Sabah dan Malaysia.

Fasal 6: Untuk melindungi, memelihara dan menggalakkan adat istiadat tradisi semua rakyat Sabah dan Malaysia.

Pakatan Rakyat juga turut menjanjikan satu jaminan yang kami yakini boleh mengubah nasib kami orang asal melalui program Reformasi Dalam 100 Hari Pertama Mentadbir Sabah.

Perkara 4: Menubuhkan Tabung Warisan Sabah dengan modal awal sebanyak RM1bilion dari wang royalti hasil industri minyak dan gas bagi tujuan program-program pembasmian kemiskinan kepada semua rakyat Sabah di bawah paras pendapatan isi rumah RM 1500 setiap keluarga.

Perkara 9: Menghormati Hak Tanah Adat dan menarik balik semua kes mahkamah yang selama ini dibawa oleh kerajaan negeri sekiranya kes tersebut jelas mencabuli hak Tanah Adat.

Bersama ini kami sertakan surat guaman daripada Tetuan Jelani Hamdan & Co, untuk menandakan bahawa kami tidak bersendirian dalam bantahan dan tuntutan ke atas tanah-tanah adat yang dirampas itu pada kali ini.

Ini jelas kami bukanlah kaum yang terlalu lemah seperti yang disangka oleh pihak tertentu, dan ia juga jelas membuktikan bahawa kami bukanlah kaum yang terlalu naïf berkaitan dengan undang-undang.

Jika kerajaan dan agensinya tidak serius menangani isu ini, kami juga tidak serius menyokong kerajaan. Jika kerajaan enggan membatalkan projek ini, kami juga enggan membatalkan niat untuk menyokong parti pembangkang pada PRU 13 ini melalui undi. Inilah ‘Win-win Situation’ yang adil bagi kedua-dua pihak iaitu penduduk kampung selaku pemilik tanah dan kerajaan.

Kami berjanji akan terus berjuang untuk menentang kezaliman ini sehabis kudrat kami sehingga kami berjaya mengambil semula hak kami iaitu Tanah Adat pusaka nenek moyang kami.

Sekian untuk makluman dan tindakan pihak tuan dan pihak-pihak yang berkaitan.

Yang Benar

JAHUDI MASILUN

Penyelaras Badan Bertindak Gabungan (Kg. Indarason Darat & Kg. Komburongo)

Tuntutan Tanah Adat Mini Estate Kg. Minikodong.

(Nota : Surat ini turut disalinkan kepada Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong; Wakil Rakyat N.4 Matunggong; Menteri Pembangunan Luar Bandar; Ketua Menteri Sabah; Perdana Menteri Malaysia; Jabatan Pertanian Daerah Kudat; Lembaga Industri Getah Sabah; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM); Pacos Trust; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat–Datuk Seri Anuar Ibrahim; Penasihat DAP –Lim Kit Siang; Presiden PAS–Tuan Guru Abd. Hadi Awang; PPHT Kota Kinabalu dan Peguam Besar Negeri Sabah).

15 comments:

  1. Penduduk kampung dapat memberi alasan yang munasabah. Sekiranya sudah ada kehidupan (tanaman / rumah) di tanah tersebut kenapa harus dimusnahkan. Penduduk kampung berhak ke atas tanah mereka.

    ReplyDelete
  2. The government must listen to the plight of the people.

    ReplyDelete
  3. Hope that they will reconsider what they're doing.

    ReplyDelete
  4. penduduk berhak untuk menuntut balik tanah asal mereka. harap kerajaan dapat menangani isu ini dengan segera.

    ReplyDelete
  5. kerajaan harus ambil perhatian akan kepentingan penduduk setempat.

    ReplyDelete
  6. pekara ini perlu diambil perhatian..yang penting kepentingan semua pihak dijaga dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
  7. Memang patut penduduk tuntut hak mereka. Mereka ada alasan sendiri untuk membuat tuntutan itu.

    ReplyDelete
  8. Kerajaan harus dengar suara mereka. jangan biarkan penduduk terasa diabaikan.

    ReplyDelete
  9. Walaupun sukar memuaskan hati semua pihak namun kepentingan semua pihak harus dijaga seadanya.

    ReplyDelete
  10. Apapun, semoga perkara ini dapat diselesaikan sebaik mungkin.

    ReplyDelete
  11. Sehingga air liur melilih pun Kerajaan BN tetap bocor telinga..

    ReplyDelete
  12. kenapa perkara ini berlaku? Adakah suara rakyat itu tidak penting bagi mereka? Jangan biar rakyat memilih jalan mereka sendiri yang terbaik bagi mereka.

    ReplyDelete
  13. kalau begitu, eloklah kerajaan membatalkan projek itu memandangkan penduduk kampung sudah mampu berdikari untuk meningkatkan taraf hidup masing2 tanpa perlu bantuan dari kerajaan.

    ReplyDelete
  14. apa barang yb....kalau curi tanah orang saja.......siapa la yb masa e2 ya....

    ReplyDelete
  15. kalaulah setiap projek kerajaan dikatakan bertujuan untuk merampas tanah penduduk kampung, baik jangan komplen jika negeri ini mundur dan miskin.. lagipun apa bezanya jika tukar kerajaan? rampasan tanah tetap akan berlaku kerana setiap kerajaan memerlukan tanah untuk melaksanakan projek pembangunan..

    ReplyDelete