Sunday 26 June 2011

SUMPAH KERAMAT BERSALUT DARAH DI MANGKADAIT



BERSUMPAH.....Ah Teck bersumpah tidak berganjak atau menyerah kalah daripada bumi tanah adat setelah menyembelih ayam di kuburan nenek moyangnya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : GALUS AHTOI

WALAUPUN bahang pilihanraya Umum Ke-13 semakin terasa, namun Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) yang menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai ‘Hakim’ di ‘Mahkamah Kangaroo’ yang mereka wujudkan ketika membicarakan isu tanah adat, semata-mata untuk mengaut untung segera, kini semakin berleluasa.

Tanpa sedar, kebanyakan PPHT ini tidak mengetahui undang-undang tanah adat dengan mendesak penduduk kampung memohon PT (permohonan tanah biasa), sedangkan PT hanya untuk tanah negeri dan bukannya tanah adat yang akan melalui proses penyiasatan tanah sehinggalah kepada pengeluaran geran.

Di Sarawak, tanah adat tidak memerlukan geran, tetapi di Sabah telah disama tarafkan dengan NT yang kini dimiliki bukan sahaja Anak Negeri malah mereka yang menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu.

Bagi tanah adat di dalam hutan simpan, Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan Geran Komunal untuk melindungi hak mereka yang terlibat; Anak Negeri yang telah mengusahakan tanah adat tersebut sejak beberapa generasi, terutama sebelum merdeka atau sebelum kawasan berkenaan diwartakan sebagi hutan simpan.

Sabah hari ramai Anak Negeri Sabah menjadi mangsa kekejaman PPHT yang bukan sahaja enggan melakukan penyiasatan tanah, malah menolak permohonan tanah adat yang dipohon melalui PT dengan alasan tanah berkenaan tidak tersedia atau telah diluluskan kepada pihak lain atau hutan simpan.

Kezaliman PPHT semakin ketara sehingga meringankan masa hadapan Kerajaan Barisan Nasional Sabah di neraca politik tempatan terutama penindasan terbuka yang diikuti perbuatan keganasan membakar rumah, menebang tanaman dan menggunakan polis mengusir Anak Negeri Sabah di tanah adat.

Kejadian terbaru berlaku di Kampung Mangkadait/Kimonggis Ranau yang sudah berkurun-kurun lamanya didiami Anak Negeri Sabah yang telah dikeluarkan geran hak milik kepada individu tertentu sebelum dijual kepada Syarikat Innofirt Sdn Bhd.

Seorang penduduk kampung tersebut, Ah Teck memberitahu PPHT belum membuat sebarang keputusan bertulis berhubung tuntutan tanah adat (NCR) milik penduduk kampung terbabit, walaupun surat permohonan siasatan awal telah beberapa kali dihantar, namun pihak Syarikat sedang bertapak bekerja memusnahkan bukti-bukti fizikal NCR.

Katanya lagi, akibat tertekan dengan ugutan dan tindakan ala-Mafia oleh Gangster yang diupah oleh syarikat berkenaan, beliau telah mengadakan upacara sumpah beradat demi mempertahankan tanah adat (NCR) milik penduduk kampung yang sedang diceroboh oleh syarikat berkenaan.

“Semoga ‘Sumpah Keramat’ bersalut darah ini akan sentiasa melindungi dan mempertahankan kedamaian hak penduduk kampung ke atas tanah adat (NCR). Alang-alang berjuang, biar sampai ke nadi yang terakhir. Jika terpaksa, kami juga boleh menggunakan hukum rimba, memenggal satu persatu kepala gangster yang diupah menghalau kami; sekadar mempertahan diri kami. Tit for Tat,” ujar Ah Teck lagi.

Kata Ah Teck lagi, akibat penindasan yang dilakukan oleh PPHT ini 100 peratus penduduk terpaksa berpaling tadah dengan memberikan undi kepada calon pembangkang, melainkan isu ini diselesaikan sebelum pilihan raya umum dengan melakukan landswap kepada syarikat terbabit disebabkan kecuaian kerajaan.

“Semakin hari semakin penghidupan kami kian terhimpit. Apalah gunanya kami memberi mandat kepada wakil rakyat kami, sekalipun daripada suku kami kerana mereka semua pengecut dan membiarkan kami bakal disembelih hidup-hidup oleh gangster yang mengacau kedamaian hidup kami,” ujar Ah Teck yang memaklumkan mereka terpaksa mempertahankan diri mereka sehingga ketitisan darah terakhir jika semua sistem kehakiman negara ini gagal membela nasib mereka yang teraniaya.

11 comments:

  1. Isu tanah perlu segera diselesaikan.

    ReplyDelete
  2. Parti pembangkang sudah tentu menunggu peluang.

    ReplyDelete
  3. Hope that the people representatives will be responsible and not disappoint the people who elected them.

    ReplyDelete
  4. jangan biarkan hak penduduk kampung ke atas tanah adat mereka diambil orang luar.

    ReplyDelete
  5. tanah adat harus dipertahankan.

    ReplyDelete
  6. Apa sudah jadi dengan nasib orang kampung? Siapa yang bertanggungjawab mewakili suara mereka?

    ReplyDelete
  7. Isu tanah ini kan ada2 saja yang timbul. Macam tak pandai habis pula :(

    ReplyDelete
  8. Tanah adat memang harus dipertahankan, jadi pihak yang bertanggungjawab sepatutnya tolong penduduk dan bukannya menyusahkan kehidupan mereka.

    ReplyDelete
  9. bertahun-tahun sudah isu ini berlaku. Sehingga sekarang langsung belum ada kata putus bagi menyelesaikannya. Apa yang kerajaan fikirkan??

    ReplyDelete
  10. harap isu ini akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
  11. patutnya ada pihak yang tampil membantu penduduk kampung ini untuk menyelesaikan masalah mereka di mahkamah.

    ReplyDelete