Tuesday 28 June 2011

SLDB KEMUDI HALATUJU GERAN KOMUNAL



Oleh : KRISTY INUS

SEJAK diperkenalkan di Sabah pada tahun lepas, hak milik komunal, kaedah pantas pemberian hak milik tanah kepada pribumi secara berkumpulan, menjadi topik utama perbualan kebanyakan penduduk di bandar ini.

Pelaksanaan skim itu menjadikan Sabah negeri pertama di Malaysia yang memberi hak milik tanah komunal bagi menggantikan hak milik individu untuk memastikan semua penerimanya, khususnya di luar bandar, mendapat manfaat daripada penggunaan tanah.

Hak milik komunal mencegah pemilik tanah daripada menjualnya untuk meraih keuntungan segera dan akhirnya kembali sebagai individu yang tidak memiliki tanah.

Malah, niat murni kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman melalui program ini ialah untuk memastikan tanah yang diperuntukkan, terus menjadi milik sesebuah keluarga untuk selama-lamanya.

Walaupun ada pihak yang meragui sistem pemberian hak milik komunal ini, namun kebanyakan penduduk luar bandar, terutama yang tidak bertanah, mendapati program ini benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

Khamis ini, satu lagi majlis penyampaian hak milik komunal akan diadakan di Kemabong, Tenom dan ia dijangka disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa memberi keutamaan terhadap kepentingan warga luar bandar seperti yang termaktub dalam konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan.

Jhuvarri Majid, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), agensi yang bertanggungjawab memajukan tanah secara usaha sama dengan pemegang geran komunal, memberi penjelasan terpeinci tentang program itu dalam temu bual dengan Bernama baru-baru.

BERNAMA: Apakah peranan SLDB dalam pembangunan tanah hak milik komunal di Kemabong, Tenom?

JHUVARRI: SLDB dilantik oleh kerajaan negeri Sabah sebagai agensi pelaksana untuk memajukan tanah penduduk di kawasan luar bandar yang mendapatnya melalui program hak milik komunal.

Memandangkan SLDB memiliki kepakaran dalam perladangan kelapa sawit dan peranan kami dalam membasmi kemiskinan melalui program sosioekonomi, kami berada pada kedudukan terbaik untuk memastikan tanah berkenaan berjaya dibangunkan sebagai ladang sawit dan menguruskannya untuk menjana keuntungan maksimum.

SLDB tidak akan menjadikan tanah berkenaan miliknya. Tapi, dengan menggunakan kepakaran dan semua sumber yang kami miliki, termasuk kemampuan daripada segi kewangan, kami akan majukan tanah berkenaan serta mengurusnya untuk tempoh 25 tahun dan selepas itu, ladang sawit yang telah dimajukan sepenuhnya, akan diserahkan kepada pemilik tanah untuk mereka menguruskannya sendiri.

Sepanjang tempoh itu, kami bercadang menawarkan peluang pekerjaan kepada semua pemegang kepentingan dan anggota keluarga mereka yang sudah dewasa. Mereka akan menjadi pekerja yang mendapat keutamaan kami dan kami harap mereka akan bekerja di tanah berkenaan. Melalui cara ini, mereka boleh mempelajari cara mengurus ladang sawit, cara menuai hasilnya, mengawal rumput dan semua tugas lain yang mempunyai kaitan dengan industri ini.

Apabila pokok sawit mencapai tahap kematangan; lazimnya mulai tahun keempat selepas ditanam, sebahagian daripada keuntungan melalui penjualan tandan buah segar (FFB) akan diberi kepada pemilik tanah dalam bentuk bayaran sewaan tanah. SLDB akan hanya mengambil jumlah yang dibelanjakannya pada peringkat awal sebagai perbelanjaan modal serta bayaran pengurusan dan saya beri jaminan bahawa jumlahnya adalah lebih rendah daripada kadar yang dikenakan oleh sektor swasta.

BERNAMA: Berapa banyakkah peserta, kampung dan keluasan tanah yang terlibat dan apakah jenis pertanian yang akan dilaksanakan?

JHUVARRI: Projek agropolitan di Kemabong akan melibatkan 2,555 hektar tanah serta 601 peserta dari 13 kampung. Jenis pertanian yang akan diusahakan ialah sama ada sawit atau getah, bergantung pada kesesuaian tanah dan bentuk rupa bumi kawasan terbabit.

BERNAMA: Projek agropolitan adalah antara projek utama untuk mewujudkan keseimbangan pertumbuhan antara kawasan bandar dan luar bandar, di samping mempercepatkan pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui kegiatan pertanian dan industri berasaskan ladang. Sepanjang yang melibatkan Sabah, apakah peranan SLDB dalam aspek ini serta bagaiamana projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk Kemabong?

JHUVARRI: Kerajaan memberi tumpuan terhadap program transformasi yang melibatkan penyertaan usahawan bumiputera melalui inisiatif yang dipacu oleh rangsangan untuk membolehkan mereka menjadi penyumbang komersial dalam bidang ekonomi.

Pembangunan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan, di samping membebaskan bumiputera daripada belenggu kemiskinan.

Berpandukan Skim Agropolitan Lalampas di Tongod, yang sedang dilaksanakan SLDB, konsep agropolitan ini mengandungi tiga zon utama iaitu:

Zon Pertanian Utama (MAZ) - tapak bagi perladangan secara komersial dan berkala besar, yang menjadi neksus atau penyambung bagi pertanian berasaskan tanaman untuk masyarakat. Kajian menunjukkan bahawa sawit memiliki daya maju daripada segi komersial dan sesuai ditanam sebagai tanaman ladang berskala besar.

Kawasan Penempatan (kampung Baru) - kawasan penempatan semula peserta di kawasan projek, yang akan dilengkapi prasarana asas dan kemudahan awam. Penempatan semula penting untuk membolehkan peserta tinggal di kampung baru yang terletak di kawasan agropolitan yang diwujudkan.

Ini akan memudahkan mereka diberi kemudahan kediaman yang dilengkapi dengan prasarana yang diperlukan serta tanah untuk mengusahakan tanaman kontan.

Di samping itu, mereka akan mendapat manfaat daripada perluasan penyediaan perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga elektrik, air bersih, kemudahan komunikasi moden, pendidikan rendah, klinik kesihatan serta kemudahan asas lain. Peserta dijamin mendapat kemudahan asas seperti yang diperlukan oleh isi rumah di luar bandar.

Zon Ekonomi Komuniti (CEZ) - kawasan yang disediakan untuk anggota masyarakat menjalankan kegiatan pertanian tambahan serta kegiatan ekonomi lain dalam skala sederhana dan besar untuk membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan.

Ia juga merupakan zon penampan atau kawasan hijau. Tanaman yang diusahakan dijangka memberi pendapatan tambahan kepada masyarakat dan jenis tanaman yang diusahakan boleh bertindak sebagai tanaman luar jangka (seperti jagung, herba dan rempah-ratus) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya sesuatu keburukan terhadap tanaman utama.

CEZ bukan kepunyaan petani secara individu, tetapi dimiliki seluruh masyarakat di kawasan agropolitan berkenaan. Tonggak utama pembangunan CEZ ialah aplikasi kaedah pertanian moden dan bersistematik berkaitan perladangan/pengeluaran tanaman pilihan secara komersial.

Objektif Model Agropolitan ialah untuk membantu peserta mencapai keberhasilan utama berikut:

- menangani kemiskinan di Sabah dan Sarawak ke arah mencapai status kemiskinan tegar sifar menjelang 2020.

- merapatkan jurang pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

- mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan transformasi terhadap masyarakat luar bandar melalui pertanian dan rantaian nilai bekalan pertanian menyeluruh.

- menambah baik prasarana dan perkhidmatan di kawasan luar bandar untuk memantapkan mobiliti dan tahap capaian, termasuk mengoptimumkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat.

- menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan paras pendapatan isi rumah.

- melahirkan dan memajukan usahawan di sepanjang rantaian nilai pertanian menyeluruh.

- membolehkan petani menjadi penyumbang aktif kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar, di samping membantu negara mencapai tahap keselamatan makanan.

BERNAMA: Baru-baru ini, Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) melaporkan ramai penduduk kampung yang terlibat dengan geran komunal masih kurang memahami butiran terperincinya ketika mereka menandatangani dokumen, termasuk berkaitan pembangunan secara usaha sama dengan agensi ini. Seorang penduduk mendawka mereka diberi RM500 dan menyangka ia merupakan suatu pemberian. Mereka tidak tahu ia adalah kos operasi dan perlu dibayar balik. Ada yang bertanya sama ada mereka wajib mengikuti program agensi ini sedangkan mereka mempunyai idea sendiri untuk membangunkan tanah. Boleh tuan beri penjelasan?

JHUVARRI: Penduduk kampung atau pemegang kepentingan telah diberi penerangan tentang hak mereka pada beberapa perjumpaan antara pegawai kerajaan daripada pelbagai jabatan, pemimpin masyarakat dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

Mereka telah berkali-kali dimaklumkan bahawa mereka adalah pemilik tanah yang sebenar dan SLDB hanya menjadi agensi pelaksana. SLDB menyediakan pembiayaan untuk memajukan tanah berkenaan dan memastikan ladang diurus dengan baik untuk menjana keuntungan optimum.

Selepas ditolak kos pembangunan dan mengenakan caj pengurusan yang amat rendah, sebahagian besar daripada jumlah keuntungan akan diberi kepada pemilik tanah dalam bentuk bayaran sewaan tanah.

Apakah manfaat yang diterima oleh penduduk kampung? Sebagai penduduk yang memiliki 12 ekar (4.85 hektar) tanah tiap seorang, selalunya mereka tidak memiliki sumber dan kepakaran untuk memajukan tanah masing-masing. Dalam keadaan demikian, tidak mudah bagi mereka mendapatkan pembiayaan.

Selalunya, dan melalui pengalaman, pemilik tanah akan menjual tanah mereka untuk memperoleh keuntungan dengan cepat dan selepas itu kembali menjadi orang yang tidak memiliki tanah. Melalui pemberian hak milik komunal, pemilik tanah tidak boleh menjualnya dan ini menjamin tanah berkenaan kekal di tangan sesebuah keluarga untuk selama-lamanya. Pada waktu yang sama, tanah itu dimajukan untuk mereka. Mereka bukan saja diambil bekerja, malah apabila sampai masanya, mereka juga akan diberi dividen.

Memang terdapat manusia durjana yang menghasut rakyat kononnya skim ini merupakan helah kerajaan untuk tidak memberi tanah kepada mereka. Ini tidak betul. Dalam jangka panjang, para pemilik tanah akan digalakkan menubuhkan koperasi untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang diperlukan tentang cara mengurus ladang sendiri.

SLDB hanya hadir untuk sementara waktu; untuk menolong mereka membina apa yang perlu dan memastikan semuanya berjalan dengan baik sebelum akhirnya mengundur diri untuk memberi peluang kepada rakyat mentadbirnya sendiri.

No comments:

Post a Comment