Sunday, 26 June 2011

LOJI RM45 JUTA TAPI KUNAK KERING KONTANG?



Saudara Pengarang,

SEBAGAI pengguna yang prihatin, saya menulis di ruangan ini untuk menyatakan bahawa daerah Kunak kini mempunyai tambahan Loji baru air di Pusat Rawatan Air, Sg.Kalumpang.

Difahamkan, Loji baru yang telah siap dan beroperasi itu bernilai RM45 juta, satu jumlah yang cukup besar dan merupakan wang rakyat untuk kemudahan rakyat.

Dengan adanya tambahan keupayaan Loji baru air Sg.Kalumpang yang telah beroperasi itu, penduduk Kunak khususnya di kampung-kampung di daerah ini memerlukan bekalan air yang cukup dan sempurna.

Jika dulu loji lama hanya dapat membekalkan kira-kira 6 juta liter sehari, tetapi dengan adanya loji baru itu, difahamkan ia dapat membekalkan hingga 18 juta liter sehari (MLD) kepada seluruh kawasan di Kunak.

Masalah yang dihadapi ketika ini ialah, bagi penduduk Kg.Simpang Empat dan sekitarnya, penduduk hanya dapat bekalan air dalam setengah jam dan paling lama dua jam sahaja dalam sehari dan bukannya 24 jam seperti jaminan yang diberikan sebelum ini apabila Loji baru telah siap.

Bekalan air itu pula hanya dapat disalurkan pada waktu malam sekitar jam 7 malam atau 8 malam. Selepas itu, pili paip di rumah pengguna kosong hinggalah waktu siang hari berikutnya. Keadaan ini sudah lama berlarutan seperti juga situasi ketika loji lama beroperasi.

NKRA Jabatan Air dilihat belum menepati sasaran yang diwar-warkan sedangkan kerajaan sering menyebut mengenai kualiti dan keberkesanan perkhidmatan untuk penduduk luar bandar termasuk kemudahan air paip sempurna dan elektrik di Sabah.

Meskipun penswastaan telah dilakukan menerusi operasi penyaluran bekalan yang dijalankan oleh syarikat konsesi yang dilantik kerajaan, namun masalah penyaluran bekalan air bersih belum berada di tahap yang memuaskan kerana meskipun Loji baru telah siap dan beroperasi di Kunak dengan belanja RM45 juta itu.

Hakikatnya sistem penyaluran bekalan air masih di tahap lama terutama bagi penduduk kampung di Kg.Wawasan Simpang Empat dan kampung-kampung sepanjang laluan Jalan Kunak-Lahad Datu dalam daerah Kunak itu.

Persoalannya, apa yang boleh dibanggakan dengan kemudahan Loji baru rawatan air di Kunak jika bekalan masih tidak mencukupi.

Adalah tidak masuk akal pengguna, khususnya penduduk kampung terlibat hanya dibekalkan air paip hanya pada tahap hingga satu setengah jam sahaja dalam sehari sedangkan ada 24 jam!

Jika alasan diberikan bahawa pengguna akan membazirkan air andainya bekalan saluran diberi sehingga 24 jam sehari juga tidak boleh diterima akal kerana setiap pengguna berdaftar mempunyai meter air masing-masing dan mereka tidak akan membiarkan air paip di rumah dibuka sepanjang masa.

Diharap masalah ini dapat diambil perhatian oleh pihak berkenaan.

Salam Hormat,

IBRAHIM TABIR

Kunak.

11 comments:

  1. Hope that the related authorities will take action regarding this complaint.

    ReplyDelete
  2. Harap hal ini diambil perhatian dan tindakan segera dilaksanakan.

    ReplyDelete
  3. sepatutnya loji yang semahal itu dapat membekalkan air kepada seluruh penduduk kampung. harap masalah mereka dapat diatasi dengan segera.

    ReplyDelete
  4. Air adalah sangat penting dalam kegunaan harian. Pihak yang berwajib perlu ambil tindakan dengan kadar yang segera untuk menyelesaikan masalah mereka ini.

    ReplyDelete
  5. masalah ini perlu diselesaikan segera. bekalan air amat2 diperlukan.

    ReplyDelete
  6. Penjelasan harus diberikan kerana rakyat berhak untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

    ReplyDelete
  7. Aiks kenapakah hal seperti ni boleh berlaku. Inilah yang tak best ni oo. huhu

    ReplyDelete
  8. Penjelasan haruslah diberikan agar kekeliruan yang timbul dapat diselesaikan. Dalam masa yang sama buatlah tindakan yang lebih drastik bagi menanggani perkara ini.

    ReplyDelete
  9. Nampaknya pihak berkenaan perlulah berbincang dengan penduduk kenapa perkara ini berlaku.

    ReplyDelete
  10. harap pekara ini dapat diberikan perhatian dan keperluan penduduk perlu diberikan keutamaan.

    ReplyDelete
  11. cuba siasat balik benarkah logi itu bernilai RM45 juta.. jika 45 juta itu hanya untuk bekalan air untuk tempoh 1jam setengah, bagaimana pula nilainya untuk bekalan air 24 jam..

    ReplyDelete