Wednesday 22 June 2011

SPRM KENCING MUKA SENDIRI?



Oleh : JACOB ALEXANDER

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin kehilangan taring kerana lebih menumpukan kepada kes lapuk dan mengosongkan inventori kes berprofail tinggi kerana mengamalkan pendakwaan terpilih ala ‘Kacang Putih’; seolah-olah mereka kencing ke muka mereka sendiri.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu yang ditemui di Mahkamah Tinggi baru-baru ini ekoran penolakan rayuan Mantan Ahli Parlimen Labuan, menyatakan bahawa Malaysia gagal memastikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang kedua iaitu Memerangi Rasuah telah gagal secara total.

Kata Patrick, Menteri yang dipertanggug jawab menjaga NKRA kedua ini ialah Dato’ Seri Mohd Nazri Aziz telah gagal memastikan SPRM berfungsi sebagaimana ditubuhkan dan hanya mendakwa kes kacang putih sedangkan kes berprofail tinggi ditutup begitu sahaja, atau ‘No Case To Answer’.

Menurut Patrick, di dalam janji Perdana Menteri berhubung NKRA kedua ini, kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah dan haruslah dibendung sebelum terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.

Oleh itu, kata Patrick, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, maka kerajaan pimpinan Najib beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

Tetapi tegas Patrick, kerajaan bukan sahaja tidak menaiktaraf mutu siasatan SPRM, malah kerajaan menyumbang kepada amalan rasuah melalui amalan tender terhad atau tertutup untuk menjaga kepentingan kroni, sehingga akauntabiliti kerajaan berada di kelas kambing kerana rasuah menjadi salah satu komponen penting dalam ekuiti pembangunan Negara.

Dalam pada itu, berbalik kepada kes rayuan Suhaili yang ditolak Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Patrick berpendapat SPRM menyalahguna proses mahkamah dan menjadi alat membunuh karier politik pemimpin yang tidak disukai pemimpin persekutuan di Sabah.

Patrick yang mengikuti kes Suhaili sejak hari pendakwaan, mendapati ada yang tidak kena dan sewajarnya Panel SPRM mengkaji semula kes berkenaan disebabkan tuduhan dipinda beberapa kali termasuk menggunakan kad pengenalan palsu dan SPRM boleh didakwa melakukan perbuatan menghina mahkamah.

“Sepanjang saya kenal Suhaili, beliau mempunyai rekod yang baik sebagai Ahli Parlimen, Pengerusi Perbadanan Labuan dan Ketua UMNO Bahagian Labuan sejak 1999 sehingga 2008, tidak ada sebarang pertuduhan rasuah atau kes salahguna kuasa dikenakan terhadap beliau,” kata Patrick yang kesal kerana pemimpin UMNO menggunakan SPRM melakukan ‘Character Assassignation’ dan bukan lagi sebagai pencegah rasuah.

Kata Patrick, adalah tidak wajar jika SPRM menjadikan kes Suhaili menjadi penjamin pada tahun 1996 bagi satu pinjaman yang sudah habis berbayar 100% dan bukannya ketika beliau menjadi Ahli Parlimen.

“Seperti menggali keranda nenek moyang Suhaili untuk membuktikan bahawa Suhaili bersalah di atas jenayah (jika ada) yang dilakukan nenek moyangnya,” kata Patrick yang membuat tamsilan sinis berkenaan.

SPRM dan Pendakwaraya, kata Patrick tidak langsung mengambil kira keputusan mahkamah pada 1997 ketika Suhaili mencabar kes beliau dimufliskan pada 1993 kerana menjamin pinjaman bank kepada akaun sewa beli kereta yang dibuat oleh kawannya pada 1982.

“Keputusan Mahkamah Tinggi pada 1997 sudah jelas membebaskan Suhaili daripada kes Muflis beliau dan tidak wajar SPRM menggunakan kes yang telah dibebaskan oleh mahkamah untuk membunuh karier politik Suhaili atau mana-mana rakyat Sabah,” kata Patrick yang memberikan sokongan padu kepada Suhaili untuk memfailkan rayuan sekali lagi.

Berbanding dengan kes berprofail tinggi yang melibatkan pemimpin negara, kata Patrick langsung tidak disiasat atau ditutup begitu sahaja, termasuk kes seorang Pegawai Turus Kerajaan Persekutuan mendapat 500 ekar tanah di Sabah; kes TELCO yang melibatkan seorang menteri Kabinet dan sebagainya.

Dalam pada itu beberapa NGO dan parti politik dipercayai sedang berusaha untuk melamar Suhaili, namun ketika dihubungi Suhaili berkata beliau hanya akan membuat keputusan jika rayuan akan datang ditolak.

10 comments:

  1. Harap SPRM akan melaksanakan tugas mereka dengan adil.

    ReplyDelete
  2. Kes2 yang berprofail tinggi sampai sekarang tiada kabar berita. Biasanya yang kena tangkap orang2 bawahan tapi dalang masih bebas.

    ReplyDelete
  3. Lagi teruk jika tiada penangkapan dan kes terbiar macam tu saja. Tiada kabar berita akan hal tersebut.

    ReplyDelete
  4. SPRM kena bersifat neutral. jika didapati orang-orang yang ternama dan berjawatan tinggi melakukan rasuah jangan teragak-agak untuk mendakwa mereka.

    ReplyDelete
  5. memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak. apa pun, yang penting SPRM perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan reputasi mereka.

    ReplyDelete
  6. SPRM jangan jadi tali barut.

    ReplyDelete
  7. SPRM amalkanlah amalan Bersih, Cekap, dan Amanah dalam tugasan mereka.

    ReplyDelete
  8. SPRM harus menjalankan tugas tanpa terikat dgn mana2 pihak.

    ReplyDelete
  9. sudah tentu lah ideologi2 ataupun doktrin pemikiran sesetengah pihak akan menolak secara total apa sahaja usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan SPRM dalam usaha membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini.. lebih2 lagi bila SPRM diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.. bukankah lebih baik minta dulu penjelasan dengan SPRM baru buat tuduhan??

    ReplyDelete
  10. Kepercayaan rakyat dengan SPRM semakin berkurangan ekoran banyak masalah yang timbul dengan agensi ini. Harap SPRM akan dapat memperbaiki nama dimata semua rakyat. Buktikan bahawa SPRM akan menyelesaikan kes semua rasuah tanpa memilih pangkat.

    ReplyDelete