Tuesday, 8 May 2012

RM60 JUTA UNTUK PROJEK AGROPOLITAN KG GANA





SERAH....Shafie (kiri) menyerahkan sumbangan berbentuk keperluan rumah kepada salah satu ibu tunggal di majlis itu sambil dibantu oleh Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (dua kiri) sempena majlis itu.

Oleh :  YAP SIONG HAN

KOTA MARUDU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta untuk membangunkan Projek Agropolitan di Kampung Gana, dekat sini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya telah mengenal pasti ia adalah satu usaha inisiatif kerajaan bagi memperkasakan masyarakat luar bandar.

Katanya, antara tanaman komoditi yang berpotensi ditanam adalah tanaman kelapa sawit dan getah tetapi penduduk di sini lebih cenderung untuk menanam getah.

“Perkara ini sudah dibincang kerana tanaman itu mudah dijaga, tidak memerlukan kos besar dan harganya di pasaran stabil berbanding dengan harga komuditi yang lain dan ini dapat meningkatkan keupayaan pendapatan masyarakat di sini.

“Populasi penduduk Kampung Gana adalah lebih kurang 3,000 orang dan saya tidak mensasarkan kesemua mereka mengikuti program ini, tetapi tempias daripada projek ini dapat dinikmati oleh ahli keluarga yang menyertai program ini.

“Mereka juga mampu meningkatkan pendapatan sehingga mencecah RM1,000 sebulan seperti di kawasan lain yang menyertai Projek Agropolitan ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan selepas Majlis Program Mesra Rakyat di sini kelmarin.

Menurutnya, dalam usaha membangukan kawasan luar bandar di Kota Marudu beberapa projek telah disiapkan pada tahun lalu, di antaranya Jalan Kebulian, Tandek, dan banyak lagi yang memakan kos sejumlah RM2 hingga RM4 juta.

Selain itu, projek bekalan air sistem vertikulasi di Kampung Tambum, sambungan talian Grid Zon Tiga A Sabah keseluruhannya bernilai RM51 juta telah siap dilaksanakan.

Katanya, kini terdapat beberapa buah jalan di Parlimen Kota Marudu dalam proses pembinaan yang menelan kos bernilai RM95 juta sedang dilaksanakan

“Kementerian saya juga memperuntukkan sejumlah RM22 juta untuk menaiktaraf jalan Kampung Talantang ke Kampung Gana (6.4 kilometer) dalam fasa ke empat ini. Fasa 1 hingga 3 telah pun selesai dengan kos RM64 juta sejauh 16.2 kilometer,” katanya.

Shafie berkata proses penyiapan jalan itu masih dalam perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai pelaksanaan dan berharap ia dapat dilakukan segera agar mempermudahkan masyarakat di Kampung Gana menikmati kemudahan rumah bersimen, jalan yang baik serta bekalan air yang mencukupi.

Pihak kementeriannya juga bercadang membina sebuah rumah panjang 10 pintu di Kampung Rasak Darat yang bernilai RM600 ribu.

Sehubungan dengan itu, KKLW juga meluluskan RM6.2 juta untuk membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kudat dan RM1.6 juta untuk kerja-kerja pembinaan jalan perhubungan desa Kudat.

Sementara itu, KKLW telah menghantar permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan dengan lanjutan had tempoh persaraan dari umur 58 pada 60 tahun kakitangan Kemas yang membabitkan hampir 16 ribu anggota agar selaras dengan yang diamalkan kini dalam JPA.

“Permohonan sudah dihantar dan sedang menunggu jawapan daripada pihak  JPA, lanjutan itu boleh membantu dari segi penambahan keupayaan di luar bandar,” katanya. (theborneopost)

8 comments:

  1. projek ini pasti memberi manfaat kepada penduduk.

    ReplyDelete
  2. Diharapkan peruntukan RM60 Juta ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan projek Agripolitan di Kampung Gana. Penduduk di situ perlulah mengambil peluang yang baik ini.

    ReplyDelete
  3. Semoga projek naik taraf jalan raya dari Kampung Talantang ke Kampung Gana akan disiapkan dengan adanya peruntukan sebanyakan RM22 Juta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Peruntukan naik taraf jalan raya harus digunakan sebaik mungkin

      Delete
  4. Semoga projek itu akan dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan peruntukkan yang telah diberikan itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelaksanaan harus siap tepat pada masanya

      Delete
  5. setiap projek agropolitian yang dilaksanakan oleh kerajaan telah terbukti mampu mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini..

    ReplyDelete
  6. saya harap projek ini tidak disambut dengan bantahan oleh penduduk kampung.. rebutlah peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup..

    ReplyDelete