Oleh : HAZLAN ZAKARIA
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal
Agama, Datuk Mashitah Ibrahim berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang
melindungi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau gaya
hidup mereka daripada tindakan kerajaan.
Katanya, Perkara 8 Klausa 1
dan 2 dalam Perlembagaan mendefinisikan gender berdasarkan seseorang itu lelaki
atau wanita dan bukannya berdasarkan jantina yang disukai oleh seseorang
individu.
Beliau berkata demikian
ketika menjawab satu soalan tambahan daripada Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) di
Dewan Rakyat hari ini.
Ngeh berkata kerajaan perlu
mengambil kira untuk memansuhkan undang-undang yang mendiskriminasi golongan
LGBT, yang berdasarkan doktrin agama.
Sebaliknya, kerajaan perlu
menggubal undang-undang yang lebih adil kepada semua, katanya.
Perkara 8 Klausa 1 dalam
perlembagaan itu memberi jaminan bahawa "Semua orang adalah sama rata di
sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi
undang-undang" manakala Klausa 2 pula menyatakan bahawa "tidak boleh ada diskriminasi terhadap
warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau
jantina."
No comments:
Post a Comment